Azam Baki, Idrus Harun gagal ambil tindakan skandal kapal TLDM, kata Guan Eng


Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan Peguam Negara Idrus Harun gagal melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan bertindak bebas dalam skandal perolehan kapal tempur pesisir TLDM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2022.

KETUA agensi antirasuah Azam Baki dan Peguam Negara Idrus Harun patut letak jawatan kerana gagal melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan bertindak bebas dalam skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS) tentera laut, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

“Bahawa Azam Baki dan Idrus Harun terpaksa dipanggil oleh perdana menteri dan diarah mempercepatkan siasatan dan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke mahkamah adalah satu pengakuan terbuka betapa mereka gagal menjalankan tanggungjawab mengikut undang-undang untuk bertindak bebas dan profesional tanpa gentar atau memihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Jemaah Menteri dalam mesyuarat mingguannya membincangkan dengan terperinci isu skandal perolehan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang tergendala.

“Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menggesa SPRM agar menyegerakan siasatan.

“Sekiranya terdapat bukti kukuh, peguam negara hendaklah membuat pendakwaan dan mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Ismail Sabri juga memberi jaminan, bagi pihak kerajaan, bahawa siasatan akan dijalankan dengan telus.

“Kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terlibat,” katanya.

Menurut Lim, tindakan perdana menteri memanggil Azam dan Idrus menunjukkan mereka tidak layak duduk di jawatan masing-masing.

“Ini menonjolkan lagi betapa pentingnya dua jawatan ini bebas daripada kawalan perdana menteri untuk mengelak digunakan sebagai senjata politik,” katanya.

Dalam mesyuaratnya semalam Jemaah Menteri juga memutuskan supaya laporan siasatan jawatankuasa khas yang dibentuk oleh pentadbiran Pakatan Harapan bagi menyiasat perolehan di bawah Kementerian Pertahanan didedahkan kepada umum.

Jemaah Menteri juga mencadangkan agar laporan audit forensik projek perolehan itu yang dijalankan pada 2019 dinyahklasifikasi, tertakluk nasihat dan pandangan peguam negara dan ketua audit negara.

Ismail Sabri juga berkata kerajaan komited untuk meneruskan perolehan itu atas kepentingan pertahanan negara selaras dengan keperluan TLDM.

Keputusan Jemaah Menteri itu selaras dengan dengan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mengumumkan laporannya minggu lalu, selepas siasatan selama dua tahun.

Dalam laporannya, PAC merumuskan sembilan punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Laporan 14 ahli Parlimen rentas parti itu antara lain mendapati kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd melalui kontrak runding terus, namun tiada kapal diterima setakat ini. – 11 Ogos, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen