RM6 bilion untuk beli pukal peralatan bina LCS, kata CEO LTAT


Ravin Palanisamy

Ketua Pegawai Eksekutif LTAT Ahmad Nazim Abd Rahman mengesahkan pembinaan fizikal kapal tempur pesisir sedang dilaksanakan di limbungan Lumut. – Gambar Facebook Ahmad Nazim Abd Rahman 10 Ogos, 2022.

PEMBINAAN fizikal kapal tempur pesisir (LCS) sedang dilaksanakan, dan RM6 bilion yang telah dibelanjakan adalah untuk pembelian secara pukal hampir semua peralatan untuk membina 6 kapal tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ahmad Nazim Abd Rahman.

Beliau berkata di bawah kontrak sekarang pembinaan enam kapal perlu dibuat sekali harung, dan pembelian peralatan secara pukal jauh lebih murah berbanding jika dibeli satu per satu.

“RM6 bilion daripada nilai kontrak 9 bilion sudah dibayar. 

“Kenapa bayar sampai RM6 bilion, tapi progress pembinaan untuk 5 kapal pertama hanya pada purata 55%? Sebab RM6 bilion dibelanjakan untuk beli hampir kesemua peralatan yang perlu untuk bina 6 kapal. Bulk order lebih murah berbanding beli satu-satu. 

“Sebahagian besar perbelanjaan adalah untuk basic design dan detailed design yang dibuat oleh Naval Group, Perancis,” katanya dalam kenyataan di Facebook malam tadi.

Ahmad Nazim berkata beliau terlibat secara langsung dalam menggubal pelan pemulihan projek LCS bersama-sama Kementerian Pertahanan dan TLDM baru-baru ini, serta mengesahkan kapal-kapal tersebut sedang sedang dibina di limbungan Lumut.

“Saya sudah berkali-kali turun ke Lumut Shipyard yang terletak di dalam pengkalan TLDM dan melawat projek LCS. 

“Saya boleh sahkan pembinaan fizikal kapal memang sedang berlangsung. Kalau naik bot ke Pangkor pun boleh nampak ‘hull’ kapal-kapal ini yang sebahagian besarnya sudah dibina,” katanya.

Ahmad Nazim seterusnya menjelaskan RM9 bilion untuk 6 kapal di bawah kontrak asal bermakna harga satu kapal adalah lebih kurang RM1.5 bilion.

Harga itu lebih murah dibandingkan dengan RM1.9 bilion bagi satu kapal LCS yang dibayar oleh Mesir dan Emiriah Arab Bersatu yang dibuat di Perancis. Manakala Amerika Syarikat membina LCS mereka setiap satu pada kos RM2.4 bilion, kerana ia lebih canggih, katanya.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada satu pun kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu yang diberikan secara rundingan terus kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd memperuntukkan lima kapal seharusnya disiapkan dan diserahkan bulan ini.

Kerajaan telah membayar RM6 bilion kepada BNS, di mana pemegang saham terbesarnya sebanyak 61% adalah LTAT.

Dalam laporannya, PAC berkata penilaian kerajaan ke atas BNS gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu. Kedudukan kewangan syarikat BNS adalah lemah dan kritikal disebabkan salah guna kuasa dan kepincangan dalam pengurusan kewangan, katanya.

Menurut PAC lagi, terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan kerana pembayaran projek LCS adalah berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar. – 10 Ogos, 2022.     



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen