Membina kembali naratif politik Melayu


MASALAH rasuah di Malaysia bukan lagi soal persepsi; pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya lebih tahu.

Selepas skandal terbesar negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan puluhan billion wang rakyat, kita dikejutkan sekali lagi dengan skandal kapal LCS untuk tentera laut (TLDM) yang melibatkan sejumlah RM6 bilion wang rakyat.

Jika wang kertas RM100 sebanyak RM6 bilion ini disusun, mungkin boleh merentangi laut dari Kuala Lumpur sampai ke Wellington, New Zealand. 

Jika RM6 bilion ini diperuntukkan untuk membina rumah rakyat, sekitar 75 ribu buah rumah yang berharga RM80 ribu sebuah boleh siap dibina dalam tempoh kurang tiga tahun.

Bagi mereka yang prihatin, hari ini jika minum air teh tarik ketika sarapan pagi, akan rasa seperti minum air akar kayu. Begitu pahit rasanya untuk ditelan semua ini.

Kita boleh lihat masalah ini dari pelbagai perspektif.

Kita boleh berdebat dan berhujah tentang masalah sistem yang tak telus, atau kerana pentadbiran yang lemah, masalah perasuah yang licik, masalah kecuaian individu hingga hal-hal melibatkan soal perjanjian dan sebagainya.

Namun semua perspektif terhadap masalah ini tidak akan membawa kita ke mana-mana kerana pokok persoalan yang paling besar ialah faktor kegagalan kepimpinan oleh pemimpin Melayu yang dipertanggungjawabkan.

Kenapa saya kaitkan masalah ini dengan “Melayu”? Adakah saya rasis? Tidak.

Sebabnya sangat jelas iaitu menteri pertahanan orang Melayu, pegawai-pegawai kanan kerajaan juga Melayu, ketua-ketua dan pegawai kanan GLIC yang mengurus juga orang Melayu.

Mereka semua ini adalah pemimpin dan ketua yang menggerakkan projek besar ini.

Tetapi apabila ini terjadi, seolah-olah ia memberi gambaran bahawa semua ketua dan pemimpin Melayu ini jahil dan tidak tahu mengurus sumber negara dengan betul dan amanah apatah lagi nak menjaga soal keselamatan negara. 

Bangsa sakit

Saya ingin beri sedikit gambaran betapa sakitnya bangsa Melayu ini. Ini berlaku lama dahulu, antara tahun 2004/05 (pada zaman Pak Lah).

Saya ke pejabat menteri untuk menghantar satu kertas kerja bagi satu program kami; budak-budak NGO nak mohon dana untuk program kami sekitar RM8 ribu. 

Pegawai menteri mengambil kertas kerja saya dan bertanya berapa saya nak bagi dia. Saya tercengang kerana dia terus bertanya tanpa melihat kertas kerja saya. 

Dalam kecewa saya bertanya padanya terus terang, kenapa perlu saya bayar hanya untuk hantar kertas kerja kepada menteri?

Mereka menjawab, juga dengan berterus terang. Bagi mereka, inilah sistemnya dan sistem ini untuk nak pastikan sesuatu projek itu dapat dengan lebih mudah dan cepat lebih-lebih lagi pada orang seperti saya, Melayu Islam. 

Dengan adanya “pengeras” mereka akan pastikan projek itu saya dapat dengan segera. 

Saya terdiam mendengar hujah pelaku rasuah ini. Ceritanya habis di situ dan saya keluar tidak kembali lagi.

Ini projek ‘ciput’ yang bawah RM10 ribu. Saya tak dapat bayangkan jika projek itu lebih dari RM1 juta hatta RM6 bilion.

Hakikat yang pahit

Rasuah dalam negara dan kerajaan ketika ini didominasi oleh orang Melayu. Ini hakikatnya walaupun rasanya amat pahit. 

Hanya mereka yang ada ‘akses’ dengan sumber iaitu pegawai kanan dan pemimpin politik sahaja mampu membuat jaringan (sistem) sebegini.

Dan sistem ini takkan mampu dilawan dengan meletakkan pegawai integriti di setiap jabatan kerajaan. Ia tak boleh ditangani dengan pelbagai surat aku janji, surat deklarasi, surat rasmi atau pekeliling. 

Ini semua tak boleh selagi ada pemimpin dan kepala yang akan “bypass” semua halangan-halangan ini.

Rasuah di Malaysia adalah jenayah profesional. Mereka ini kartel, mereka ini scammer terbesar, lebih besar dari kartel dadah. 

Kartel dan scammer ini bergerak bebas dalam pejabat kerajaan atau menteri.

Bagaimana mereka boleh bebas bergerak? Kerana mereka bergerak dengan meyakinkan kakitangan rendah yang lain dengan menggunakan hujah atau alasan – mereka buat kerja untuk “Melayu dan Islam”.

Seperti saya tulis di sini, kegiatan rasuah ini paling besar dalam negara kita. Dari sekecil-kecil benda yang boleh ‘disembelih’ untuk dapat duit pengeras sampailah kepada sebesar-besar alam punya kerja, juga akan digelek dengan kegiatan rasuah.

Melayu Islam

Dan orang Melayu adalah bangsa yang amat terdedah dan tercekik dengan masalah ini kerana hujah “untuk Melayu dan Islam”.

Tidak ada jalan keluar yang lain selain menolak parti dan pemimpin yang jahat dan mengambil keputusan untuk memilih wadah baharu dengan barisan pemimpin yang jujur dan amanah.

Walaupun formula ini nampak mudah, tetapi ia suatu jalan yang sangat sukar kerana orang melayu mudah keliru untuk membezakan antara Melayu yang baik dengan Melayu yang jahat kerana faktor “Melayu Islam” itu.

Seperti biasa, apabila pecah skandal besar seperti kapal LCS ini, orang Melayu marah. Tapi marah-marah sayang. Kenapa? Kerana benda yang sama, yang terima duit rasuah itu Melayu, Islam. 

Bangsa Melayu akan kalah, bukan kerana dijajah oleh orang lain, atau kerana tiada nabi berbangsa Melayu, bukan.

Tetapi kerana orang Melayu lemah dan terus memilih pemimpin yang jahat.

Oleh itu, Dr Mahathir Mohamad mengambil keputusan menubuhkan Pejuang dan Gerakan Tanah Air kerana kita mahu meletakkan pemimpin yang amanah di tempat yang betul. – 10 Ogos, 2022.

* Mahdzir Ibrahim, ahli Pejuang.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen