KEJAYAAN jaguh basikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat perak dalam acara keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo hari ini mencetus semangat satu hati rakyat Malaysia yang bersama meraikan kemenangan itu.
Menerusi hantaran di Twitter, kejayaan Azizulhasni yang diberi gelaran ‘The Pocket Rocketman’ dikongsi pemimpin politik tanah air, disusuli dengan ucapan tahniah dan penghargaan di laman Twitter.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah dalam hantarannya berkata: “Setinggi tahniah Datuk @AzizulAwang! We are all proud of you!”.
Turut berbangga dengan kejayaan atlet negara itu, Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Hishammuddin Tun Hussein.
“Tipulah tak sebak dan bangga tengok pecutan bertenaga Datuk @AzizulAwang di final tadi. Terima kasih dan tahniah Jijoe! Walaupun belum rezeki menang emas, perjuangan #DemiMalaysia yang menghadiahkan pingat perak tetap amat besar nilai dan maknanya serta akan dihargai sampai bila-bila!” kata Hishammuddin.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali menzahirkan kesyukuran atas kemenangan Azizulhasni, 33, anak jati Terengganu.
“Alhamdulillah dan tahniah to our silver medallist Datuk @AzizulAwang! Pocket Rocketman,” menurut Mohamed Azmin dalam Twitternya.
Presiden PKR Anwar Ibrahim menerusi ucapannya menzahirkan: “Tahniah kepada Datuk @AzizulAwang kerana berjaya memenangi pingat perak dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebentar tadi. You did your best!”
Turut senada, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menerusi catatannya: “Pingat Perak! Tahniah Pocket Rocketman Dato’ Azizulhasni Awang! Anda hebat! Jalur Gemilang akan berkibar lagi di Tokyo 2020.”
Pada perlumbaan akhir yang penuh dramatik, Azizulhasni melintasi garisan penamat di tangga kedua untuk meraih perak, meleburkan impiannya memenangi pingat emas Olimpik pertama negara.
Penyandang juara Jason Kenny dari Britain meraih pingat emas manakala pelumba Belanda Harrie Lavreysen merangkul pingat gangsa. – Bernama, 8 Ogos, 2021.
Komen