BEIJING melantik pentadbiran baharu Hong Kong merangkumi empat pegawai kanan yang dikenakan sekatan Amerika Syarikat (AS) sebagai cubaan untuk “membuli” China.
AS mengenakan sekatan terhadap 11 pegawai Hong Kong dan Beijing dua tahun lalu selepas penguatkuasaan undang-undang keselamatan negara menyeluruh bagi menghapuskan perbezaan pendapat di bandar separa autonomi itu.
Ia berikutan protes demokrasi besar-besaran yang sering berlaku pada 2019.
Empat daripada tujuh anggota kerajaan Hong Kong yang akan meneruskan tugas dalam pentadbiran baharu, termasuk pemimpin John Lee; Menteri Keselamatan Chris Tang; Menteri Hal Ehwal Tanah Besar Erick Tsang dan Ketua Setiausaha pentadbiran baharu, Eric Chan.
Tiga lagi pemimpin yang dikenakan sekatan ialah bekas ketua polis, Steven Lo; bekas pemimpin bandar Carrie Lam dan Setiausaha Kehakiman Teresa Cheng yang bakal digantikan.
Berikutan sekatan itu, Lam berkata beliau terpaksa menerima gajinya secara tunai susulan sekatan perbankan.
Ketika sesi memperkenalkan kabinet baharunya kepada pemberita hari ini, Lee berkata beliau “mengejek apa yang dipanggil sebagai sekatan” dan tidak memberi perhatian kepada mereka.
“Sesetengah negara pembuli cuba menakut-nakutkan pegawai (Hong Kong) dengan langkah seperti sekatan, terutamanya selepas rancangan mereka untuk mensabotaj keselamatan negara kita gagal kerana langkah yang kami gunakan,” kata Lee.
“Ini menjadikan kami lebih berazam untuk terus melaksanakan tugas mempertahankan keselamatan negara.”
Pelantikan 26 pegawai utama dilakukan kurang daripada dua minggu sebelum kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran pada 1 Julai sempena ulang tahun ke-25 pemindahan Hong Kong daripada jajahan British kepada China dan pelaksanaan model politik “Satu Negara, Dua Sistem”.
Walaupun spekulasi berleluasa bahawa Xi akan melawat Hong Kong untuk sambutan ulang tahun tersebut sebagai simbolik pengesahan pentadbiran baharu Lee, perkara itu masih belum disahkan.
Sekiranya ini berlaku, ia akan menjadi lawatan pertama Xi ke luar China sejak wabak Covid-19. – AFP, 19 Jun, 2022.
Komen