Pembangkang perlu bersatu tanding PRU15, kata Muda


Mohd Farhan Darwis

PEMBANGKANG perlu bersatu jika tidak mahu akan kerugian dalam pilihan raya umum ke-15, kata Ketua Penerangan Muda Luqman Long.

Beliau berkata, parti itu tetap dengan pendirian agar pembangkang membina kekuatan secara bersama agar dapat menawan Putrajaya.

“Apabila anda ingin mendapat sokongan majoriti di dalam Dewan Rakyat, dari 222 kerusi Parlimen anda tak boleh bergerak dalam satu, dua parti kemudian buat kumpulan kecil…

“Peluangnya sangat tipis, risikonya sangat besar,” kata beliau dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Beliau berkata, parti Muda secara dasar menumpukan kepada usaha agar pembangkang dapat bergerak bersama.

“Untuk ambil alih tampuk kepimpinan Putrajaya, anda tidak boleh bergerak berseorangan, dari awal Muda percaya benda ini,” kata peguam berusia 24 tahun itu.

Oleh itu pembangkang perlu membina gabungan yang kuat kerana tiada mana-mana pergerakan politik mampu menguasai kerajaan sekiranya bergerak secara bersendirian.

“Bergerak bersama bagi saya adalah kemestian, wajib dibuat bersama. Kalau tidak dibuat bersama mungkin tidak mendatangkan hasil yang kita mahu.

“Cuma bergerak bersama bagaimana harus dibincangkan secara tuntas, duduk dan cari jalan tengah bersama.

“Kita tak nak di hujung hari kamu pilih haluan kamu, kami pilih haluan kami, mereka pilih haluan mereka, tiga-tiga tak dapat apa, yang dapat adalah pihak lain. Kita tak nak itu berlaku,” katanya.

Muda pada masa ini masih belum membentuk mana-mana kerjasama rasmi dengan gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan PKR, DAP, dan Amanah.

PH mencipta sejarah dalam PRU14 apabila berjaya menumbangkan BN melalui gabungannya dengan Bersatu namun kerajaan itu hanya bertahan selama 22 bulan.

Tindakan Bersatu meninggalkan PH menyebabkan pentadbiran itu tumbang dan pemimpinnya termasuk bekas pengerusi Dr Mahathir Mahaghir Mohamad menubuhkan parti baharu, Pejuang.

Pejuang kini membentuk kerjasama melalui Gerakan Tanah Air (GTA) yang menggabungkan parti kecil, seperti Putra, Iman, dan Berjasa, serta kumpulan NGO.

Ketua Penerangan Muda Luqman Long berkata parti itu secara dasarnya menumpukan usaha untuk pembangkang bergerak bersama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 9 Ogos, 2022.

Satu lagi parti pembangkang, Warisan pernah membentuk kerajaan di Sabah dan kini berusaha melebarkan sayapnya ke semenanjung melalui kerjasama bersama Muda.

Mengulas lanjut, Luqman berkata, persoalan yang timbul hari ini adalah kaedah dan bentuk kerjasama yang harus dipelopori pembangkang bagi mendepani PRU15.

Jelasnya, tidak semua parti pembangkang yang ada berkongsi aspirasi dan matlamat yang sama.

“Cuma persoalan seterusnya bagaimana mahu bergerak bersama? Adakah anda nak bertanding di bawah satu bendera saja?

“Atau bertanding bersama tapi bendera lain-lain, asing-asing, atau kamu nak sertai mana-mana perikatan atau pakatan?” katanya.

“Di Malaysia masih belum ada lagi parti tunggal yang boleh mendapat sokongan majoriti di dalam Parlimen secara berseorangan, secara tunggal,” kata Luqman.

Idea menghimpunkan pembangkang dalam khemah besar bagaimanapun tidak dipersetujui pimpinan pembangkang seperti Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Pemilihan PKR baru-baru ini juga menunjukkan pasukan yang menolak khemah besar mendominasi barisan pemimpin parti dipimpin Presiden Anwar Ibrahim itu.

Mengulas perkembangan itu, Luqman berkata Muda sedia menjadi jambatan penghubung kepada rakan pembangkang lain bagi mencari jalan tengah bersama-sama.

“Pimpinan Muda sentiasa ada komunikasi yang jelas dengan rakan pembangkang lain.

“Dari segi komunikasi dengan rakan PKR, DAP, Amanah, Warisan contohnya, kita jumpa duduk semeja, sebab kita nak dapatkan jalan tengah bersama,” katanya.

Tambahnya, Muda sedia menghubung semua pihak yang berminat bekerjasama tanpa mengira kaum.

“Bagi kita parti Muda adalah untuk semua rakyat Malaysia, jadi partinya (yang mahu bekerjasama) itu perlukan menjadi parti yang menerima semua kaum.

“Muda juga percaya kita perlu buka ruang dan peluang kepada orang Muda di luar yang tiada latar belakang politik.

Mungkin bukan keluarga politik tapi mereka ada visi jelas untuk Malaysia, ada kesungguhan, dan kerja keras. Maka bolehlah kita berkawan dan bergerak bersama,” katanya lagi.– 9 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen