Perkembangan projek LCS dilapor berperingkat, kata Hishammuddin


Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein percaya TLDM akan terima kapal pertama dalam masa dua tahun lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2022.

KERAJAAN akan melaporkan jadual dan perkembangan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) secara berperingkat.

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata kementeriannya diberi masa enam bulan bagi memobilisasikan usaha menghidupkan semula projek itu, dan beliau percaya kapal pertama akan diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam masa dua tahun lagi.

“Kita akan lihat bagaimana kita boleh memastikan kapal yang dijanjikan sampai kepada TLDM dan mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan.

“Saya akan laporkan kepada orang ramai jadual berperingkat pembinaan kapal tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Husain Awang yang memintanya Kementerian Pertahanan menjelaskan mengenai langkah yang diambil dalam menyelesaikan isu perolehan kapal tersebut serta soalan tambahan Senator Razali Idris yang ingin tahu mengenai jangka masa yang akan diambil.

Menurut Hishammuddin, kerajaan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam siasatan berhubung ketirisan projek LCS itu.

“Kerjasama kita kepada PAC adalah ‘total’ (sepenuhnya). Kita telah pun berdepan dengan PAC lebih daripada 15 kali.

“Siapa yang salah, tetap salah. Sekiranya ada penyelewengan atau salah guna kuasa, siasatan sedang berjalan dan tindakan kepada mereka yang terlibat akan diambil,” katanya.

Khamis lepas, PAC mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 mendapati tiada satu kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.083 bilion memperuntukkan lima kapal seharusnya disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022. – Bernama, 8 Ogos, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen