China sekat Pelosi sebab lawat Taiwan


Kementerian Luar China berkata Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi campur tangan dalam hal ehwal dalaman China malah menjejaskan kedaulatan serta integriti wilayah China dengan melawat Taiwan minggu ini. – Gambar EPA, 5 Ogos, 2022.

KEMENTERIAN Luar China mengumumkan sekatan terhadap Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi pada Jumaat, selepas lawatannya ke Taiwan minggu ini mencetuskan kemarahan dan membuatkan Beijing menunjukkan kekuatan tenteranya.

Kementerian itu berkata Pelosi “serius campur tangan dalam hal ehwal dalaman China dan menjejaskan kedaulatan dan integriti wilayah China” dengan lawatan itu, malah Beijing akan “mengenakan sekatan ke atas Pelosi dan keluarga terdekatnya”.

China telah mengumumkan sekatan ke atas beberapa pegawai AS dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana bertindak menentang apa yang dilihatnya sebagai kepentingan terasnya selain bercakap mengenai isu hak asasi manusia di Hong Kong dan Xinjiang.

Pada Mac tahun ini Beijing berkata ia mengenakan sekatan visa ke atas senarai pegawai AS yang tidak didedahkan yang didakwa “mencipta pembohongan mengenai isu hak asasi manusia yang melibatkan China”.

Bekas setiausaha negara AS Mike Pompeo, serta Peter Navarro – penasihat perdagangan kepada bekas presiden Donald Trump – antara yang disekat, dilarang masuk China serta menjalankan perniagaan dengan entiti China.

Parti Komunis yang memerintah Beijing melihat Taiwan yang memerintah sendiri dan demokratik sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan telah berjanji untuk mengambilnya suatu hari nanti, secara paksa jika perlu.

Kerajaan China telah bertindak balas dengan ancaman dan latihan ketenteraan menjelang dan selepas lawatan Pelosi, yang dilihatnya sebagai peningkatan hubungan yang tidak boleh diterima antara Washington dan pemimpin pro-kemerdekaan Taiwan sekarang. – AFP, 5 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen