Umno akan terus salahkan DAP untuk menang PRU15, kata Guan Eng


Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng menjawab kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Konvensyen Barisan Nasional Selangor hujung minggu lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2022.

UMNO akan terus menyalahkan DAP atas semua perkara semata-mata untuk menang pilihan raya akan datang, kata pengerusinya Lim Guan Eng.

Katanya, Umno akan memutar belit fakta dan angka, termasuk mengulang-ulang dakwaan DAP menguasai kerajaan Pakatan Harapan.

Lim, yang juga bekas menteri kewangan dalam pentadbiran PH, merujuk kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Konvensyen Barisan Nasional Selangor hujung minggu lalu.

“Walaupun DAP adalah parti utama, tidak sekali-kali DAP mendominasi kerajaan atau PH adalah kerajaan DAP seperti yang didakwa oleh Ismail,” katanya, dalam satu kenyataan.

Lim berkata walaupun ada enam menteri DAP dalam kabinet Dr Mahathir Mohamad, daripada keseluruhan 29 menteri, mereka bukanlah perdana menteri atau timbalan perdana menteri.

“Ismail harus kembali dan belajar Matematik tentang cara mengira, jika dia percaya bahawa 6 daripada 29 anggota Kabinet sama dengan mendominasi Kabinet kerajaan,” tambahnya.

Dalam kenyataannya, Lim menyebut beberapa contoh bagaimana Umno memutar belit fakta dan angka untuk mengembangkan naratif palsu tentang DAP, untuk mengelirukan orang ramai tentang parti itu.

“Dengan hanya memetik nama DAP, UMNO memainkan sentimen ekstremis untuk memenangi pilihan raya umum dengan menyalahkan segala-galanya kepada DAP,” katanya.

Contoh yang utama, menurut Lim, ialah bagaimana Umno menuduh DAP membahayakan Tabung Haji dalam pelan penyelamatan dana itu selepas diselewengkan semasa pentadbiran BN.

“Umno sebelum ini secara palsu menuduh DAP membahayakan dan meletakkan orang bukan Islam bertanggungjawab ke atas Tabung Haji.

“Bagaimanapun, selepas Umno kembali berkuasa melalui pintu belakang dalam Langkah Sheraton, mereka tidak membuat sebarang komen apabila Ketua Audit Negara kerajaan mereka sendiri mengesahkan bahawa langkah tepat pada masanya yang diambil oleh PH telah menyelamatkan Tabung Haji daripada masalah kewangan,” katanya.– 3 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen