Tabung Haji sekali lagi nafi kewujudan sistem kartel 


Alfian Z.M. Tahir

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengulangi kenyataan bahawa tiada sistem ‘kartel’ yang membenarkan hanya agensi tertentu menjadi pengelola jemaah haji berlesen (PJH).

Menjawab kenyataan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) yang menggesa Lembaga Tabung haji membenarkan lebih banyak agensi menjadi pengelola haji, TH berkata mana-mana syarikat pelancongan boleh memohon untuk menjadi PJH dan mereka akan dipilih setiap tahun jika syarat ditetapkan dipenuhi.

“TH telah mengeluarkan lesen PJH kepada 22 buah syarikat pelancongan tempatan pada 22 Febuari tahun ini dimana syarikat-syarikat tersebut telah melalui proses saringan dan pemilihan yang teliti untuk beroperasi sebagai PJH berlesen bagi Musim Haji 1443H/2022M,” kata Pengarah Eksekutif TH Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata bagi membolehkan syarikat pelancongan tempatan mendapatkan lesen PJH, ia perlu memenuhi 10 syarat ketat.

“Sistem ini telah digunapakai sejak tahun 2000 dan ditambah baik secara berkala. Sistem ini telah diperkemaskan kali terakhir pada tahun ini.

“Syarat-syarat pemilihan PJH yang ditetapkan adalah bagi memastikan syarikat-syarikat pelancongan tempatan memiliki kapasiti yang teguh serta mampu memberikan perkhidmatan Haji yang terbaik termasuklah mampu menjaga rapi kebajikan jemaah Haji Malaysia,” katanya

Presiden Papuh Razali Mohd Sham memberitahu The Malaysian Insight masalah berpunca daripada TH yang menyebabkan ratusan bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bulan lepas.

Beliau berkata, ia berlaku apabila TH memutuskan untuk mengeluarkan lesen pengendali haji (PJH) kepada agensi tertentu yang “disukai mereka”.

“Ini salah TH. Lesen (PJH) diberikan kepada agensi tertentu. Agensi yang tidak disukai TH tidak akan diberikan lesen.

“Apa jenis kriteria untuk mendapat PJH ini? Kita tidak tahu. Bagi kita (Papuh), TH sepatutnya membenarkan lebih banyak agensi yang mempunyai rekod prestasi baik untuk membawa jemaah haji atau umrah.

“Mereka tidak boleh menggunakan ejen sama sahaja. Perlu ada perubahan sistem dalam TH,” kata Razali.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu dilaporkan membersihkan TH daripada sebarang salah laku kerana mereka tidak menerima sebarang aduan berhubung sistem kartel yang didakwa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata tiada laporan dibuat setakat ini berikutan surat tular mengenai dakwaan salah laku yang melibatkan Pengerusi TH Azman Mokhtar dan ketua pegawai eksekutif Amrin Awaluddin dalam menguruskan delegasi haji.

“Kami belum dimaklumkan (mengenai perkara itu),” kata Azam.

Bekas timbalan menteri hal ehwal agama, Fuziah Salleh memberitahu The Malaysian Insight isu jemaah terkandas di KLIA bulan lepas bukan salah TH.

Ahli Parlimen Kuantan itu mengimbau kembali kejadian serupa berlaku pada 2019 apabila ramai yang tertipu dengan visa furada yang dikeluarkan oleh kedutaan Arab Saudi.

“Ada satu lagi visa yang diberikan oleh kedutaan Saudi – visa furada, yang diberikan kepada VIP, contohnya menteri. Mereka boleh meminta visa furada dan ia akan dikeluarkan mengikut budi bicara kerajaan Saudi,” kata Fuziah.

“Tetapi sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab akan menyalahgunakan visa ini untuk menipu orang lain supaya mempercayai bahawa mereka boleh menunaikan haji dengan visa furada ini. Visa furada tiada kaitan dengan Tabung Haji. Ia sama sekali berbeza.” – 2 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen