Tiada maklumat dakwaan salah laku TH, kata SPRM


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menerima sebarang aduan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam Tabung Haji (TH), kata ketua pesuruhjayanya.

Azam Baki memberitahu The Malaysian Insight setakat ini tiada laporan dibuat berkaitan dakwaan salah laku melibatkan pengerusi TH Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Amrin Awaluddin mengenai pengurusan jemaah haji Malaysia.

“Kami belum dimaklumkan (mengenai perkara itu),” kata Azam ketika dihubungi.

Surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight mendakwa Amrin telah menyalahgunakan kuasanya dengan membenarkan Azman menunaikan haji bersama ahli keluarganya.

Surat tanpa nama itu juga mendakwa Azman telah mengarahkan Pengarah Eksekutif TH Syed Saleh Syed Abdul Rahman untuk melantik anak saudaranya sebagai petugas haji.

Azman juga didakwa membawa ahli keluarga dan saudara mara isterinya menunaikan haji tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya.

Semalam, TH menafikan wujud “sistem kartel” dalam pemberian lesen pengendalian pakej haji swasta.

Syed Saleh, yang juga ketua delegasi haji Malaysia, menjelaskan lesen berkenaan diberikan kepada syarikat yang melalui proses saringan dan teliti.

“Dakwaan ‘kartel’ adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas.

“Mana-mana syarikat boleh memohon untuk menjadi PJH berlesen di bawah TH dan dipilih apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.

Syed Saleh berkata, bagi musim haji tahun ini, TH mengeluarkan lesen berkenaan kepada 22 syarikat pelancongan selepas proses saringan. Dua syarikat baharu juga dilantik tahun ini iaitu Az Zuha Group Travel & Tours Sdn. Bhd dan Mimm Travel & Tours Sdn Bhd.

Kelmarin, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) menggesa TH supaya memberi peluang saksama kepada semua agensi pengendali haji dan umrah untuk dilantik sebagai pengelola jemaah haji bagi mengelak insiden jemaah terkandas kerana masalah visa.

Presidennya, Razali Mohd Sham berkata TH tidak sepatutnya melantik agensi sama setiap tahun sebagai pengelola jemaah haji tetapi boleh menukar ganti mereka dua tahun sekali.

“Tibalah masanya sistem ‘kartel TH’ yang diamalkan oleh TH perlu di rombak tanpa birokrasi (saya suka, saya bagi) bagi memberi peluang kepada agensi pelancongan yang lain menjadi PJH dan tidak hanya tertumpu kepada PJH yang sedia ada saban tahun.

“Papuh mengesyorkan setiap agensi pelancongan yang menjadi PJH mesti diulang ganti setiap dua tahun,” katanya dalam satu kenyataan. – 13 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen