Beri peluang agensi lain kendali haji, kata persatuan


Susulan pandemik Covid-19, Arab Saudi menghadkan jumlah jemaah dari seluruh dunia kepada hanya 1 juta orang. – Gambar EPA, 11 Julai, 2022.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mesti memberi peluang saksama kepada semua agensi pengendali haji dan umrah untuk dilantik sebagai pengelola jemaah haji bagi mengelak insiden jemaah terkandas kerana masalah visa, kata Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh).

Presidennya, Razali Mohd Sham berkata TH tidak sepatutnya melantik agensi sama setiap tahun sebagai pengelola jemaah haji tetapi boleh menukar ganti mereka dua tahun sekali.

“Tibalah masanya sistem ‘kartel TH’ yang diamalkan oleh TH perlu di rombak tanpa birokrasi (saya suka, saya bagi) bagi memberi peluang kepada agensi pelancongan yang lain menjadi PJH dan tidak hanya tertumpu kepada PJH yang sedia ada saban tahun.

“Papuh mengesyorkan setiap agensi pelancongan yang menjadi PJH mesti diulang ganti setiap dua tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Papuh membayangkan TH selama ini tidak terbuka kepada agensi pelancongan lain, yang kemudiannya mengambil kesempatan menawarkan visa haji jemputan menggunakan visa furada yang ditawar terus oleh Arab Saudi dan bukan melalui sistem kuota negara.

Cadangan Papuh itu susulan insiden hampir 400 jemaah haji Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu, dipercayai ditipu sebuah agensi pelancongan swasta.

Polis mengesahkan menerima sekurang-kurangnya 57 laporan berkaitan kes penipuan pakej haji melibatkan sebuah agensi pelancongan swasta dengan kerugian dianggarkan lebih RM2.37 juta.

Susulan pandemik Covid-19, Arab Saudi menghadkan jumlah jemaah dari seluruh dunia kepada hanya 1 juta orang. Ini menyebabkan jumlah visa haji jemputan juga terhad, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini. – 11 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen