Laporan akhir RCI Tabung Haji dijangka selesai Julai, kata Wan Junaidi


LAPORAN akhir hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji dijangka selesai Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata RCI bagi siasatan isu Tabung Haji yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 telah mengadakan mesyuarat sebanyak tiga kali sejak penubuhannya pada 21 Januari 2022.

“Sehingga 26 April 2022, Suruhanjaya Siasatan Diraja ini juga telah mengenal pasti dan memanggil pelbagai agensi yang boleh membantu siasatan bagi mendapat gambaran dan situasi berkaitan kedudukan organisasi, pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji bermula 2014 hingga 2020.

“Selain itu, seramai 43 saksi telah dipanggil untuk merakam keterangan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menubuhkan RCI susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021 dan 8 Oktober 2021.

Ia ditubuhkan bagi melaksanakan siasatan dan menyediakan laporan untuk dipersembah kepada Seri Paduka dalam tempoh enam bulan selepas penubuhannya. – Bernama, 28 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen