Prestasi syarikat hotel TH kurang memuaskan walau lepas pindah aset


Pencapaian syarikat perhotelan TH kurang memuaskan yang disebakan kelemahan tadbir urus utama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2020.

PENCAPAIAN syarikat perhotelan Tabung Haji (TH) didapati masih kurang memuaskan selepas aset berkenaan dipindahkan ke syarikat tujuan khas pada 2018, menurut ketua audit negara.

Audit itu dijalankan ke atas TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR) yang mengurus dan mengendali tiga hotel masing-masing di Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

Audit yang dijalankan sehingga awal bulan ini mendapati antaranya kelemahan utama dalam tadbir urus korporat adalah kegagalan melantik ketua pegawai eksekutif (CEO).

“... Sehingga 29 Februri 2020, jawatan (CEO) masih belum diisi THHR sejak perkhidmatan mantan (CEO) pada 30 April 2019.”

Ia selanjutnya dikaitkan dengan kegagalan syarikat meningkatkan pendapatan – yang hanya berjumlah sekitar 60% daripada sasaran dari 2016 sehingga 2019.

Pada 2018, THHR hanya meraih RM16.48 juta berbanding sasaran RM28.94 juta, lebih rendah daripada hasil pada tahun terdahulu RM17.62 juta berbanding sasaran RM29.47.

Selain itu, sebahagian lembaga pengarah yang dilantik oleh syarikat induk pada tahun lalu didapati tidak berpengalaman dalam pengurusan operasi hotel, menurut laporan itu.

“Perkara ini mempengaruhi keupayaan lembaga pengarah memberi pandangan dan nasihat bersesuaian terhadap operasi syarikat yang tidak mencapai sasaran dan penetapan pengurusan risiko dalam pelan perniagaan syarikat.”

Laporan meliputi pengurusan syarikat kerajaan persekutuan itu juga mendapati terdapat pengarah berstatus bukan bebas dilantik, yang berisiko mewujudkan konflik kepentingan.

Kelemahan dalam struktur korporat tersebut juga dikait dengan keccekapan THHR mengutip hutang kerana 26.8% tunggakan hutang melebihi 90 hari masih belum dapat dikutip.

“Ketiadaan SOP kutipan hutang menunjukkan kelemahan pengurusan,” tegas laporan itu.

Selain itu ia juga membawa kepada kelemahan dalam pengurusan, strategi dan operasi pemasaran yang membawa kepada penurunan kutipan pendapatan syarikat.

“Pengurusan promosi dan pemasaran yang dilaksanakan adalah kurang cekap dan berkesan bagi meningkatkan pendapatan syarikat,” menurut ketua audit negara.

Ia mendapati, THHR hanya menggunakan RM368,390 (21.5%) daripada bajet promosi dan pemasaran RM1.71 juta selepas diambil alih Urus Harta Jamaah Sdn Bhd.

Syarikat itu dimiliki kerajaan sepenuhnya melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Kebanyakan promosi dijalankan dengan saluran kos rendah melalui Facebook dan Instagram, menurut ketua audit.

Laporan itu turut menggariskan mengenai kerosakan di harta hotel berkenaan yang dikaitkan dengan kegagalan mengikat kontrak penyelenggaraan.

Analisis bagaimanapun mendapat kedudukan aset dan liabiliti syarikat di tahap baik dan THHR mempunya aset mencukup dan mampu menampung obligasinya bagi tiga tahun.

Audit seterusnya mengesyorkan THHR mempertingkatkan amalan tadbir urus korporat dan pengurusan hotel supaya selaras dengan penubuhannya. – 24 Ogos, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen