Pengumuman Arab Saudi benar ibadah haji cukup bermakna, kata Idris


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata kuota haji yang dibenarkan bagi Malaysia akan dimaklumkan oleh kerajaan Arab Saudi sedikit masa lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2022.

KEPASTIAN untuk menunaikan ibadah haji yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi cukup memberi makna kepada semua umat Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad. 

Beliau berkata jaminan untuk melaksanakan ibadah haji ternyata semakin bersinar dengan pengumuman daripada kerajaan Arab Saudi.

“Kuota haji yang dibenarkan bagi Malaysia akan dimaklumkan oleh kerajaan Arab Saudi kepada Lembaga Tabung Haji (TH) sedikit masa lagi. 

“Terus berdoa, sabar dan fokus dalam menjalani ibadah (pada bulan) Ramadan dan sungguh-sungguhlah berdoa agar kita dapat menjadi tetamu Allah kelak,” katanya menerusi catatan dalam akaun Facebook hari ini. 

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam kenyataan hari ini memaklumkan hanya satu juta umat Islam tempatan dan antarabangsa di bawah usia 65 tahun dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

Dua syarat yang ditetapkan ialah sudah divaksinasi dengan vaksin Covid-19 yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan melakukan saringan Covid-19 72 jam sebelum berlepas. 

Idris menyifatkan berita tersebut benar-benar menggembirakan semua umat Islam yang menantikan dengan penuh sabar untuk melaksanakan ibadah rukun Islam kelima itu.

“Dua tahun satu tempoh yang cukup lama bagi mereka yang rindukan bumi Haram untuk menunaikan tanggungjawab rukun Islam dengan penuh hikmah,” katanya. 

Beliau berkata TH telah bersedia untuk memastikan kelancaran ibadah haji kepada bakal-bakal jemaah Malaysia dan hanya menunggu untuk mendapatkan kuota jemaah, katanya. – Bernama, 9 April, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen