LEMBAGA Tabung Haji (TH) menafikan wujud “sistem kartel” dalam pemberian lesen pengendalian pakej haji swasta, seperti yang didakwa oleh Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh).
Dalam satu kenyataan, Pengarah Eksekutif Haji TH Syed Saleh Syed Abdul Rahman menjelaskan lesen berkenaan diberikan kepada syarikat yang melalui proses saringan dan teliti.
“Dakwaan ‘kartel’ adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas.
“Mana-mana syarikat boleh memohon untuk menjadi PJH berlesen di bawah TH dan dipilih apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.
Antara syarat itu termasuk berpengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut, rekod bersih pengurusan syarikat dan kewangan, tidak muflis, dan lulus penilaian oleh pejabat TH di Arab Saudi.
Jelas beliau, tempoh permohonan dibuka pada 1 Ramadan dan ditutup pada 1 Ramadan tahun berikutnya, setahun sebelum tahun operasi.
Bagi musim haji tahun ini, TH mengeluarkan lesen berkenaan kepada 22 syarikat pelancongan selepas proses saringan. Dua syarikat baharu juga dilantik tahun ini iaitu Az Zuha Group Travel & Tours Sdn. Bhd dan Mimm Travel & Tours Sdn Bhd.
Syed Saleh juga berkata sistem pemilihan ini dipakai sejak tahun 2000 dan ditambah baik dari masa ke masa, yang terakhir pada tahun ini.
“Syarat-syarat pemilihan PJH yang ditetapkan adalah bagi memastikan syarikat syarikat pelancongan tempatan memiliki kapasiti yang teguh serta mampu memberikan perkhidmatan Haji yang terbaik termasuklah mampu menjaga rapi kebajikan jemaah haji Malaysia,” katanya.
Semalam, Papuh menggesa TH supaya memberi peluang saksama kepada semua agensi pengendali haji dan umrah untuk dilantik sebagai pengelola jemaah haji bagi mengelak insiden jemaah terkandas kerana masalah visa.
Papuh membayangkan TH selama ini tidak terbuka kepada agensi pelancongan lain, yang kemudiannya mengambil kesempatan menawarkan visa haji jemputan menggunakan visa furada yang ditawar terus oleh Arab Saudi dan bukan melalui sistem kuota negara.
Cadangan Papuh menyusul insiden hampir 400 jemaah haji Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu, dipercayai ditipu sebuah agensi pelancongan swasta. – 12 Julai, 2022.
Komen