Cina senang kena tipu sebab kekangan bahasa, pendidikan


Angie Tan

MASYARAKAT Cina lebih terdedah kepada penipuan kerana mereka telah dilatih dari muda untuk takut kepada pihak berkuasa penguatkuasaan, terutamanya polis, menurut beberapa biro pengaduan awam parti politik.

Selain itu, pendidikan vernakular mereka serta penguasaan selain daripada bahasa Cina turut menjadi faktor penyumbang, kata mereka.

Ketua biro perkhidmatan awam dan aduan Gerakan Henry Teoh berkata orang Cina mudah tertipu kerana didikan dan pendidikan mereka.

“Ibu bapa Cina sentiasa memberitahu anak-anak mereka bahawa apabila mereka berkelakuan buruk, polis akan datang kepada mereka,” kata Teoh kepada The Malaysian Insight.

“Ini sudah tersemai dalam diri mereka. Oleh itu, apabila mereka menerima panggilan dengan pemanggil yang mendakwa sebagai polis atau agensi penguatkuasaan lain, mereka berasa takut

“Walaupun mereka mungkin berpendidikan tinggi, apabila mereka menerima panggilan sedemikian, mereka mudah panik dan terpengaruh dengan penipuan itu.”

Teoh berkata apabila orang ramai menerima panggilan daripada pihak yang kononnya pihak berkuasa, mereka harus bertenang dan bertanya kepada orang lain, bukannya mengikut arahan yang diberikan.

Ramai orang Cina yang menerima panggilan sedemikian, bagaimanapun, cenderung membuat laporan polis, dan itulah sebabnya data menunjukkan bahawa lebih ramai orang Cina ditipu, katanya.

“Tetapi ada kaum lain juga, dan bilangan mereka juga tinggi, tetapi mereka tidak melaporkannya.”

Teoh berkata Gerakan cuba mewujudkan kesedaran tetapi orang ramai seolah-olah menolak mereka dan menganggap mereka kebal daripada penipuan.

Ketua Pesuruhjaya Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata kes penipuan berleluasa di negeri ini dan kebanyakan mangsa adalah orang Cina.

Sementara itu Pengerusi Biro Aduan Awam DAP Wilayah Persekutuan Yew Jia Haur berkata halangan bahasa itu juga menyebabkan orang Cina mudah terjebak dengan penipuan.

“Mereka juga tidak mahu melibatkan keluarga mereka, jadi apa sahaja yang boleh diselesaikan sendiri dengan wang, mereka lebih suka berbuat demikian,” kata Yew.

Mereka yang terpengaruh dengan penipuan ini juga dalam lingkungan umur dari remaja hingga warga emas, katanya.

Kaum lain mungkin lebih berwaspada kerana mereka mungkin menyemak dengan rakan dan ahli keluarga yang merupakan penjawat awam, tambahnya.

Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Low Guo Nan turut menjadi sasaran penipu yang kononnya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, menuntut RM630,000 pada 2019 kerana didakwa terlibat dalam pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

Beliau bernasib baik kerana cepat tersedar. 

Low berkata penipu tidak peduli tentang kaum, mereka hanya mahukan wang.

“Data yang polis ada adalah berdasarkan mereka yang melaporkan kes sedemikian.”

Low, yang juga ketua biro perkhidmatan awam dan aduan MCA Perak, berkata mereka telah menerima banyak panggilan untuk mendapatkan bantuan pada separuh pertama tahun ini.

“Kami menggalakkan mangsa melaporkan jenayah itu terlebih dahulu tetapi mereka fikir ia tidak berguna kerana wang itu tidak dapat diperoleh semula.”

Beliau berkata Malaysia harus mengambil langkah proaktif untuk menangani penipu dan bukannya hanya mendidik orang ramai.

“Negara lain memintas panggilan ini dan cuba mencari penjenayah. Ini sudah tentu memerlukan kerjasama daripada jabatan lain dan bank.”

Menurut Bukit Aman, sebanyak 98,607 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian berjumlah RM3.3 bilion dilaporkan di seluruh negara dari 2017 hingga 2021.

Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Supt Rozeni Ismail berkata dalam tempoh itu lebih 30,000 individu telah ditahan dan daripada jumlah itu, 25,000 individu telah didakwa di mahkamah.

Beliau berkata kebanyakan kes membabitkan Macau scam, penjualan dan pembelian dalam talian, pinjaman wang tidak wujud dan love scam.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata kes penipuan dalam talian seperti penipuan Macau scam, love scam dan e-purchase di ibu negara semakin meningkat walaupun negara masih berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, sebanyak 4,340 kes dengan kerugian RM665 juta direkodkan tahun lepas berbanding 4,062 kes dengan kerugian RM637 juta dicatatkan pada 2020.

Turut dilaporkan lebih 1.6 bilion panggilan dan 1,500 laman web yang mencurigakan telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). – 3 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen