Lebih baik guna RM2 bilion 'baiki' kerosakan Felda


Amin Iskandar

Pelaburan Felda dalam PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) dianggap membazir dalam keadaan peneroka lebih memerlukan duit untuk membantu mereka menyelesaikan pelbagai masalah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2018.

FELDA tidak seharusnya membazirkan dana dengan melabur sebanyak AS$500 juta (RM1.95 bilion) kepada syarikat bermasalah PT Eagle High Plantations Tbk (EHP), kata Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi Kedua Felda.

Penasihatnya, Zulkefli Nordin sebaliknya berkata wang sebanyak itu seharusnya digunakan untuk “memperbaiki apa yang sudah rosak” di Felda.

“Contohnya seperti naikkan kembali harga unit saham Felda Global Ventures Berhad (FGV) yang jatuh daripada RM4.80 kepada RM1.80,” kata Zulkefli kepada The Malaysian Insight.

“Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi Kedua Felda memang dari awal lagi tidak bersetuju dengan pembelian tersebut kerana kita sedia maklum syarikat tersebut adalah syarikat bermasalah.”

Baru-baru ini International Palm Oil Monitor (IPOM) mendedahkan Felda melabur dalam syarikat kelapa sawit Indonesia EHP yang bermasalah.

Dilaporkan, laporan “due diligence” yang dibuat berhubung pengambilalihan EHP oleh KPMG dan dilihat IPOM, jelas menunjukkan terdapat banyak salah laku dalam syarikat itu.

Menurut IPOM, pembelian kontroversi EHP oleh Felda dari taikun Indonesia Peter Sondakh dari Rajawali Group, kini sudah berlalu hampir lebih setahun.

Felda, menerusi FIC Properties Sdn Bhd membeli 37% dari saham Eagle High pada harga kira-kira AS$500 juta, iaitu Rp5.80 (RM0.17) sesaham, dengan premium amat tinggi sebanyak 95% kepada harga saham penutupnya pada pembelian itu.

IPOM berkata perjanjian itu mendapat bantahan pengkritik serta pakar kerana terlampau mahal dan disebabkan masalah dalaman EHP.

Bagaimanapun, perjanjian itu diteruskan juga, menggunakan dana kerajaan. Ia dilihat untuk menyelamatkan Peter Sondakh, seorang ahli perniagaan Indonesia yang mempunyai hubungan politik kuat di Malaysia.

Zulkefli memberitahu The Malaysian Insight, Felda membuat pelaburan itu pada ketika syarikat itu mempunyai pelbagai masalah dengan pengurusan urus tadbir ladang.

“Seperti masalah pembayaran hasil yang dibuat sebulan bulan sekali, masalah kewangan tabung-tabung yang dipotong dari pendapatan peneroka, kadar perahan yang menyebabkan nilai buah tandan segar (BTS) jatuh.

“Pelaburan ini adalah merugikan dan tidak mendatangkan apa-apa kelebihan kepada Felda,” katanya.

Zulkefli berkata, Felda seringkali “tidak tetap pendirian” dalam membuat pelaburan.

“Masa zaman transformasi (pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak) bermula, tanah-tanah Felda dipajak dan dilaburkan kepada unit saham.

“Beli hotel-hotel dan buat projek bukan teras. Ia dikatakan untuk menjadikan Felda lebih berdaya saing dengan tidak hanya menumpukan kepada bidang pertanian dan perladangan sahaja,” katanya.

Beliau berkata, contoh dapat dilihat dalam Tabung Pemulihan Ladang yang dahulunya dikenali sebagai Insurans Ladang.

“Berpuluh-puluh tahun setiap bulan peneroka mencarum kononnya dipanggil Insurans ladang. Bila ulat bungkus menyerang ladang milik peneroka Felda, tiba-tiba Felda tukar jadi Tabung Pemulihan Ladang.

“Bila diminta Felda segerakan pemulihan ladang, tiba-tiba kata dana sudah tiada maka tertangguh. la kerja kerja pemulihan ladang! Sepatutnya langkah yang terbaik adalah menggunakan dana AS$500 juta (RM1.95 bilion) untuk perbaiki apa yang telah rosak.

“Satu rancangan minta RM100-RM200 ribu untuk jalan pertanian pun sampai 2 hingga 3 tahun nak lulus. Itupun bukan duit Felda. Duit peneroka yang dipotong daripada pendapatan.

“Jika benar semua pelaburan Felda menguntungkan, mengapa duit tabungan peneroka tidak dapat disalurkan dan digunakan ketika ia diperlukan?” soal Zulkefli. – 23 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Felda mempunyai perancangan tersendiri..jd tak perlu masuk campur dlm urusan pelaburan mereka..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan