Barisan makin panjang, dapur amal di KL bergelut dengan harga barang


Elill Easwaran

Barisan orang yang beratur untuk mendapatkan makanan di dapur amal sekitar Kuala Lumpur semakin panjang, ketika pengendali dapur bergelut dengan kenaikan kos bahan mentah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2022.

DAPUR umum kini bergelut dengan kenaikan 15% hingga 50% kos bahan mentah dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, ketika barisan mereka yang beratur mahu mendapatkan makanan semakin panjang disebabkan peningkatan kos sara hidup, kata pengendali dapur di pusat bandar.

Pengasas Pit Stop Community Café Joycelyn Lee berkata semakin sukar untuk memberi makan kepada orang sekarang kerana kenaikan harga memberi kesan kepada bahan mentah protein, sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Barisan makin panjang dan ada hari-harinya kami juga menerima permintaan untuk menyediakan makanan bungkus untuk pusat, rumah kebajikan dan organisasi lain.

“Ada harinya kami sampai tolak permintaan itu, atau memberikannya kepada organisasi lain dengan harapan ada orang di tempat lain boleh tolong,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

Malah ada permintaan pemberiaan makanan untuk isi rumah, satu petunjuk situasi sukar dan isu ini bukan sahaja melibatkan kumpulan gelandangan.

Pit Stop, yang mempunyai dapur sendiri, selalunya menyediakan 150 bungkus makanan setiap hari, empat hari seminggu. Ia menawarkan hidangan makanan malam pada Isnin, Rabu dan Khamis serta makanan tengah hari pada Jumaat.

“Kami tak beri makan malam pada Jumaat sebab ada kumpulan lain memberikan makanan pada malam Jumaat dan hujung minggu,” kata Lee lagi.

Memandangkan bahan mentah semakin mahal dan jumlah orang memerlukan bertambah ramai, beliau merayu kepada mereka yang memberi makanan pada hujung minggu untuk bekerjasama dengan kumpulan dapur umum sedia ada dan badan kebajikan bagi mengelak pembaziran makanan.

“Makanan semakin mahal dan kami juga berdepan dengan masalah kekurangan penderma.

“Sangat mengecewakan melihatkan bungkusan makanan tidak disentuh jadi basi, bila kita tak tahu berapa ramai yang memerlukannya,” katanya.

Selain kos bahan mentah, kelelahan penderma dan sukarelawan turut menyukarkan usaha memberikan bantuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2022.

Harga makanan kini bertambah mahal walaupun subsidi kerajaan masih diteruskan kerana harga siling seperti telur dan ayam meningkat sejak 1 Julai lepas.

Bagi telur ayam, harga siling bagi gred A adalah 45 sen sebiji, gred B (43 sen) dan gred C (41 sen), manakala harga ayam di Semenanjung adalah RM9.40 sekilo, bertambah 50 sen berbanding harga siling sebelumnya iaitu RM8.90 sekilo.

Bijiran untuk ayam juga naik harga dipercayai disebabkan perang Rusia-Ukraine kerana kedua-dua negara itu adalah pengeluar utama bijiran dunia.

Pada Mei lepas, inflasi naik 2.8% sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan inflasi makanan yang naik ke tahap tertinggi iaitu 5.2%, menurut data Jabatan Perangkaan.

Bukan hanya gelandangan

Pengasas Social and Enabling Environment Development (Seed) Mitch Yusof pula berkata barisan semakin panjang di pusat Seed di Chow Kit.

“Barisan bukan hanya melibatkan orang gelandangan, ada juga yang beratur bekerja di kawasan sekitar.

“Saya tak pasti jika mereka miskin bandar tetapi saya percaya mereka yang beratur untuk mendapatkan makanan kerana mereka memerlukannya,” kata Mitch.

Walaupun Seed masih mampu menyediakan makanan berbungkus kerana mempunyai penaja, jumlah bekalan sudah berkurangan.

“Sebelum ini kami biasanya menerima sekitar 300 bungkusan makanan setiap hari untuk diedarkan, tetapi sekarang selalunya 100 bungkus sehari. Sekali seminggu kami dapatlah 200 hingga 300 bungkus,” katanya.

Pertiwi Soup Kitchen, satu lagi pengendali dapur jalanan utama di ibu kota, berkata kos setiap bungkus makanan disediakan juga meningkat daripada RM5 kepada RM5.50.

“Kami menyediakan sekitar 500 bungkus setiap hari, daripada sarapan pagi kepada minum malam. Bagaimanapun, ada harinya kami sediakan hingga 800 bungkus,” kata Pengasas Pertiwi Munirah Abdul Hamid.

Bungkusan itu kemudiannya diedarkan dari pusat perlindungan transit gelandangan di Lorong Medan Tuanku 2, Kuala Lumpur.

Kenaikan harga makanan menjejaskan rakyat Malaysia, yang paling teruk terkesan adalah kumpulan miskin bandar, gelandangan, berpendapatan rendah dan mereka yang terjejas sumber pendapatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2022.

Antara mereka yang turut memberi perkhidmatan kepada kumpulan memerlukan di kawasan Chow Kita adalah Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Umum Malaysia (PPKUM), dengan pengasasnya Elisha Kor Krishnan berkata kini mereka hanya mengedarkan bungkusan makanan jika menerima derma.

Elisha berkata barisan kini bertambah sekitar 20% setiap kali mereka mengedarkan bungkusan makanan.

“Disebabkan peningkatan harga barang, pengedaran makanan kami tak konsisten.

“Sekarang memang ia bergantung sepenuhnya kepada penderma dan penyokong,” katanya, menambah yang isu kelelahan penderma bertambah buruk berbanding sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebelum ini, PPKUM akan membeli bahan mentah dan memasaknya sendiri. Sekarang mereka hanya akan mengedarkan bungkusan makanan yang disediakan pihak lain.

Awal minggu ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata inflasi akan naik antara 8% hingga 11% jika kerajaan tidak meneruskan subsidi.

Tetapi kerajaan juga berdepan isu jumlah subsidi yang bertambah tinggi dianggarkan mencecah RM77.7 bilion tahun ini dan sudah mengarahkan perkhidmatan awam mengurangkan perbelanjaan.

Jumlah awal peruntukan subsidi tahun ini adalah RM31 bilion.

Putrajaya juga kini dalam usaha menggerakkan subsidi bersasar kepada hanya kumpulan memerlukan, mekanisma terbaik sedang dicari. – 23 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen