Sonia Gandhi disiasat kes cuci duit


Berikutan siasatan pengubahan wang haram terhadap pemimpin parti Kongres Sonia Gandhi, para pemimpin parti pembangkang mendakwa Perdana Menteri Narendra Modi salah guna kuasa dengan melancarkan kempen terhadap penentang dan pengkritiknya. – Gambar EPA, 21 Julai, 2022.

PASUKAN penyiasat India pada Khamis memanggil Sonia Gandhi, presiden parti Kongres pembangkang, bagi menyiasat dakwaan pengubahan wang haram yang dipersalahkan oleh sekutunya atas salah guna kuasa kerajaan.

Ahli politik berusia 75 tahun itu telah menjadi pengaruh pendorong dalam parti yang pernah didominasinya sejak pembunuhan suaminya, bekas perdana menteri Rajiv Gandhi pada 1991, dan pewaris dinasti politik yang bermula sejak kemerdekaan negara itu daripada Britain.

Pihak berkuasa sedang menyiasat aduan lebih sedekad yang difailkan oleh ahli Parlimen dari Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah, yang menuduh keluarganya menyalahgunakan dana Kongres untuk membeli perniagaan akhbar yang kini sudah tiada selain secara peribadi memperoleh portfolio hartanah yang sangat berharga.

Keluarga Gandhi telah menafikan dakwaan itu malah Kongres telah menuduh parti Perdana Menteri Narendra Modi menyalahgunakan kuasanya.

“Agensi institusi negara kita tidak boleh digadaikan dalam politik balas dendam BJP. Penyalahgunaan (Direktorat Penguatkuasaan) untuk menyerang pembangkang perlu dihentikan,” kata parti Kongres melalui Twitter pada Khamis.

Gandhi pada mulanya dipanggil bulan lalu oleh Direktorat Penguatkuasaan, yang menyiasat jenayah kewangan di India, tetapi soal siasatnya ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke hospital kerana Covid-19.

Anak lelakinya Rahul, yang mengetuai parti itu di Parlimen, telah disoal siasat selama beberapa hari pada Jun atas dakwaan yang sama.

Pada Khamis, Sonia ditemani Rahul dan anak perempuannya Priyanka ketika ke pejabat Direktorat Penguatkuasaan untuk disoal siasat, tiba kira-kira jam 1 tengah hari waktu tempatan, menurut media tempatan.

Pemimpin beberapa parti pembangkang mengeluarkan kenyataan bersama Khamis mengecam siasatan itu.

Kerajaan Modi telah “melancarkan kempen tanpa henti terhadap penentang dan pengkritiknya melalui agensi penyiasat,” menurut kenyataan itu.

“Pemimpin terkemuka beberapa parti politik telah dijadikan sasaran dan gangguan dalam cara yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” tulis mereka. – AFP, 21 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen