SIMON Momoh, yang ditahan 40 hari di depoh tahanan imigresen ingin memberikan sedikit nasihat kepada warga asing di Malaysia: sentiasa patuhi undang-undang.
Warganegara Nigeria itu, yang pada awalnya ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, kemudiannya ditahan di depoh tahanan imigresen Semenyih dan berdepan deportasi selepas visa pasangannya dibatalkan.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, Momoh teringat pengalamannya itu dan berkata bekiau tidak akan mampu melaluinya tanpa isteri, Low Kar Hui, seorang warganegara Malaysia.
“Tuhan beri ujian kepada mereka yang mampu, dan isteri saya memang seorang yang kuat,” kata Momoh.
“Saya sangat gembira ada dia dalam hidup saya.
“Walaupun permulaan semua ini adalah kesalahan saya (memandu mabuk) dan pihak berkuasa cuba menguatkuasakan undang-undang, pusat tahanan itu terasa seperti dalam penjara.
“Nasihat saya kepada warga asing ialah sentiasa berjaga-jaga (dengan undang-undang), kerana negara ini keras.”
Low tidak dapt bertemu Momoh hampir sebulan ketika ditahan.
Mengenang semua itu, Momoh berkata beliau fikir isteri sudah meninggalkannya.
“Dia tidak datang berjumpa saya langsung sepanjang lebih sebulan itu dan pelbagai perkara buruk melintas dalam kepala saya. Saya fikir dia tinggalkan saya.
“Ada dua lagi warganegara Nigeria di pusat tahanan itu bersama saya yang juga ada anak di sini dan keluarga mereka datang berjumpa mereka. Itu sebabnya, saya terfikir yang isteri saya tinggalkan saya,” katanya.
Momoh kemudian mengetahui Low tidak melawat kerana bimbang pegawai imigresen akan memaksanya membeli tiket sehala untuk suaminya pulang ke Nigeria.
Pada Mac 2021, Momoh mengaku bersalah kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan dipenjarakan sehari dan denda RM12,000.
Dia membayar denda itu dan kemudian ditahan imigresen selepas dibebaskan. Visanya, yang sah hingga 14 Oktober, 2022 dibatalkan.
Dia ditahan di Semenyih dan dibebaskan 40 hari kemudian pada 23 April.
Dia kemudian memfailkan semakan kehakiman pada 20 April.
Lebih setahun selepas kisahnya bermula, pada Jun tahun ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan pembatalan visanya dan perintah penghantaran pulang.
Momoh kali pertama datang ke Malaysia pada 2009 sebagai pelajar. Dia tinggal di sini sejak itu dan berkahwin dengan Low selama sembilan tahun.
Pasangan itu mempunya dua anak perempuan, Divine dan Elisha, masing-masing berusia sembilan dan enam tahun. Kedua-duanya warganegara Malaysia.
Selepas keputusan Mahkamah Tinggi, pas pasangan Momoh dikembalikan dan kini sah untuk enam bulan hingga Januari tahun depan. – 21 Julai, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen