Permohonan habeas corpus warga Nigeria ditangguh Jumaat


Raevathi Supramaniam

Low Kar Wai menunjukkan gambar suaminya, warga Nigeria Simon Momoh ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 April, 2021.

PROSIDING permohonan habeas corpus difailkan warga Nigeria, Simon Momoh ditangguhkan Jumaat bagi membolehkan pendakwa raya membalas tuduhan baharu dikemukakan defendan.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Ab Karim Ab Rahman membenarkan penangguhan dipohon pihak pendakwa bagi membenarkan mereka menjawab kepada tuduhan baharu dikemukakan dalam afidavit yang difailkan peguam Momoh.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Alvi yang mewakili jabatan imigresen, penjara dan Kementerian Dalam Negeri memohon prosiding itu ditangguhkan bagi menyelesaikan tiga isu dibangkitkan oleh defendan.

“Kami terima afidavit difailkan defendan pada 4.10 petang semalam. Mereka membangkitkan tiga perkara baharu berkaitan anak guam dipaksa memberikan cap jari, tidak dimaklumkan mengenai visa ditarik dan tidak diberi akses  kepada peguam.”

Hakim membenarkan permohonan pendakwa dan menetapkan perkara itu didengar pada 3 petang, 23 April.

Peguam  Vemal Arasan yang mewakili Momoh memfailkan permohonan habeas corpus pada 1 April dengan alasan anak guamnya ditahan secara tidak sah sejak 15 Mac.

Sehingga prosiding Jumaat ini, Vemal memohon hakim membenarkan perintah interim untuk penangguhan anak guamnya dihantar pulang ke negara asal.

Hakim bagaimanapun mengarahkan Pejabat Peguam Negara tidak mengambil tindakan sehingga perbicaraan pada Jumaat.

Vemal dibantu peguam Gurdial Singh Nijar, yang juga presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam).

Momoh ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Cheras, bulan lalu kerana memandu dalam keadaan mabuk. Dia mengaku bersalah atas tuduhan dan membayar denda RM12,000.

Bagaimanapun, beliau ditahan lagi kemudiannya mengikut Seksyen 35 Akta Imigresen 1959, yang membenarkan pihak berkuasa menahannya bagi tempoh tidak melebihi 30 hari. Dia ditahan di depoh tahanan Semenyih.

Momoh berkahwin dengan Low Kar Wai dan mempunyai dua anak perempuan. Dia ayah yang tinggal di rumah dan menjaga dua anak perempuannya, Ilahi, 8, dan Elisha, 5, kerana visa tidak membenarkan dia bekerja di negara ini.

Pada 14 April, Low menerima emel dari jabatan imigresen mengarahkannya menyiapkan urusan penerbangan pulang Momon ke Nigeria. Menurut perintah pengusiran, Momoh dianggap pendatang menurut Seksyen 8 (3) (d) (i) (ii) Akta Imigresen. – 21 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen