Mahkamah Tinggi arah warga Nigeria, Momoh dibebaskan segera


Alfian Z.M. Tahir

Pasukan peguam yang mewakili Simon Momoh bercakap kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 April, 2021.

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini mengarahkan pembebasan warga Nigeria Simon Momoh daripada tahanan dengan serta-merta.

Hakim Ab Karim Ab Rahman dalam keputusannya berkata kerajaan gagal mengikut prosedur sewajarnya dalam penahanan Momoh.

“Saya mengarahkan pembebasan segera tertuduh kerana pihak berkuasa gagal mematuhi prosedur penahanannya,” kata Ab Karim.

Peguam Momoh Vemal Arasan memfailkan permohonan habeas corpus pada 1 April dengan dakwaan kliennya ditahan secara tidak sah sejak 15 Mac.

Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara dan Kementerian Dalam Negeri dinamakan sebagai defendan.
 
Momoh ditahan bulan lepas dalam satu sekatan jalan raya di Cheras kerana disyaki mabuk ketika memandu.

Dia mengaku bersalah atas tuduhan itu dan membayar denda RM12,000.

Namun dia kemudiannya ditahan di bawah Seksyen 35 Akta Imigresen 1959 yang membenarkan pihak berkuasa menahannya tidak lebih 30 hari.

Dia ditahan di pusat tahanan di Semenyih sepanjang bulan lepas.

Pada 14 April, isterinya Low Kar Wai menerima emel daripada Jabatan Imigresen untuk memintanya menguruskan penerbangan membawa Momoh pulang ke Nigeria.

Dia juga dimaklumkan bahawa pas lawatan sosial yang sah sehingga 14 Oktober 2022, dibatalkan. – 23 April, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen