Di mana lakon layar filem Malaysia?


Naim Al-Kalantani

KEJAYAAN sesebuah filem sangat bergantung pada penulisan lakon layarnya. Sebab itulah penulis lakon layar yang baik, dia akan bersungguh-sungguh menyemak skrip yang ditulisnya. Di Malaysia sendiri kita ada Al Jafree Md Yusop yang menulis Mencari Rahmat selama 10 tahun.

Begitu juga dengan pengarah genius, Christopher Nolan; dia menyiapkan lakon layarnya lebih 5 tahun selepas sedekad memikirkan idea filem tersebut. Sekarang, di mana lakon layar tersebut? Ada bersepahan di internet. Boleh dimuat turun sahaja naskhah agung tersebut dan dibaca oleh sesiapa sahaja.

Walaupun pada mulanya Nolan menyerahkan naskhah tersebut pada pelakon dengan kertas yang berwarna merah – supaya tidak boleh dibuat salinan lain – tetapi beberapa ketika selepas filem tersebut ditayangkan di pawagam, lakon layar itu dikeluarkan.

Jadi, karya agung sebegitu pun dapat dibaca oleh khalayak. Persoalannya sekarang, bagaimana dengan lakon layar filem tempatan?

Asas dalam filem ialah lakon layar. Selalunya sebelum lakon layar ditulis, akan ada treatment adegan ditulis dahulu. Tetapi naskhah tersebut tak diperlukan sangat untuk pembaca. Berbeza dengan lakon layar – bahasa kampungnya ‘skrip’ – sangat penting untuk para pengkaji filem.

Saya cuba ke perpustakaan kampus, menyelongkar khazanah yang ada. Ada beberapa filem yang dibukukan untuk dokumentasi. Beberapa buah buku filem mengandungi lakon layar, dan ada buku yang tidak penuh skripnya. 

Rentetan dari persoalan ini, persoalan lain timbul – di mana kita boleh dapatkan lakon layar filem-filem P Ramlee?

Memang ada di kampus saya, tetapi ia merupakan projek penulisan semula (transkripsi) skrip filem arahan, lakonan dan karya sahaja. Ia bukan asli dari P. Ramlee. 

Walaupun saya tahu dan dengar-dengar cerita memang tak ada naskhah lengkap tulisan P Ramlee berbentuk lakon layar, tetapi saya yakin mesti ada tulisan asli beliau dalam apa-apa bentuk di luar sana.

Mengapa penulis-penulis lakon layar tempatan tidak mahu menyebarkan tulisan-tulisannya? 

Sekurang-kurangnya kami selaku pengkaji dan pelajar di sekolah-sekolah filem ini dapat belajar. Percayalah, pelajar filem bukan mahu menonton filem sahaja, tetapi naskhah lakon layar ini menjadi penting dalam menganalisis sesebuah filem dengan baik.

Apabila saya dapat membaca lakon layar Mencari Rahmat, Pisau Cukur, Tenet, Minions dan beberapa filem lain lagi, ia begitu mengujakan. Saya baru tahu bagaimana teknik ia ditulis. Contohnya Minions, sebenarnya apakah yang diucapkan oleh makhluk-makhluk itu? Cerita Tenet, bagaimana Nolan menyusun aksi yang dibuat?

Sampai sekarang saya tertanya-tanya bagaimanakah lakon layar Bunohan ditulis? Kalau menonton filem tersebut, kita boleh lihat bagaimana sikitnya dialog yang ditulis.

Dalam lakon layar sekurang-kurangnya akan ada dialog dan aksi. Dialog, mungkin boleh dibuat transkrip. Tapi untuk aksi dan arahan, hanya penulis skrip sahaja yang tahu apa yang sebenarnya patut dilakukan.

Berbalik pada transkripsi lakon layar filem-filem P Ramlee tadi, adakah tulisan-tulisan tersebut memang sahih daripada P Ramlee? Dialognya mungkin boleh ditranskripsi dengan tepat, tapi sebenarnya apakah yang difikirkan P Ramlee ketika itu? Mungkin ada tulisan-tulisan di mana-mana mengenai arahan tersebut.

Masalah-masalah sebeginilah yang memayahkan golongan penekur filem seperti kami, bila mana jurusan penulisan lakon layar, untuk membuat kajian terhadap filem-filem tempatan sangat terhad. Saya ingat lagi bagaimana sukanya sahabat saya yang dapat memiliki naskhah lakon layar filem Hanyut milik Sabri Yunus.

Pelajar lakon layar memang memerlukan skrip itu untuk kajian. Membaca filem-filem hebat tidak sama perasaannya dengan menonton. Adakala ia lebih berbaloi dibaca ketimbang menonton.

Dan lagi, jika sesebuah dianggap gagal dialognya, adakah benar ia gagal semasa penulisan lakon layar? Persoalan ini sah kerana akhir sekali, pengarah ada hak untuk meminda skrip tersebut mengikut kemahuan dan kebijakannya. Boleh jadi skripnya baik, tapi penyampaiannya gagal. Jarang sekali intonasi yang teliti ditulis dalam skrip. Jadi, intonasi dan pembawaan watak itu bergantung kepada pelakon. Nah, sebab inilah skrip perlu diberi (atau dijual) untuk tatapan umum.

Semasa saya belajar menulis lakon layar, rujukan skrip tempatan sangat terhad. Saya hanya dapat merujuk skrip-skrip drama TV tempatan. Ada beberapa skrip yang bagus dan memang menjadi rujukan utama. Untuk penulisan lakon pentas pula, lagi mudah untuk mencari skrip drama pentas. Tapi bila masuk bab layar lebar, skripnya tak ada!

Mengapa penulis atau produksi filem tersebut tidak mahu untuk membukukan atau menyebarluaskan lakon layar mereka? Saya rasa ia lebih berbaloi untuk dijual kepada khalayak – dapat juga laba dari jualan tersebut.

Setiap tahun Malaysia akan memilih lakon layar terbaik dalam Festival Filem Malaysia. Satu dunia dapat tahu skrip mana yang terbaik. Ya, terbaik itu mana skripnya? Bagaimana khalayak mahu membacanya? Inilah masalahnya, mahu tidak mahu, lakon layar memang perlu diterbitkan.

Percayalah, jika anda membaca lakon layar, anda akan dapat satu perasaan atau pandangan baru terhadap filem tersebut. Kepentingan penerbitan skrip sama pentingnya dengan filem itu sendiri. Paling tidak, kita terarah untuk melakukan hal ini. – 20 Julai, 2022.     

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen