BEKAS peguam negara Apandi Ali berkata beliau ditemui oleh wakil Low Taek Jho untuk mengadakan mesyuarat bagi pihak mereka dengan peguam negara Malaysia.
Apandi berkata, beliau dihubungi pada hujung Mei tahun ini, selepas itu beliau mengatur beberapa siri mesyuarat untuk membincangkan penghantaran balik wang yang didakwa diambil oleh Low – atau lebih dikenali sebagai Jho Low - daripada 1Malaysia Development Bhd.
Bagaimanapun, beliau berkata mesyuarat itu kemudiannya dibatalkan oleh AG Chambers.
“Saya didatangi oleh Kobre & Kim dari Washington DC, meminta bantuan saya untuk mengatur pertemuan dengan Peguam Negara Malaysia, pada akhir Mei 2022.
“Saya mengatur beberapa siri mesyuarat, yang mana wakil Kobre & Kim datang ke Malaysia.
“Pada mesyuarat yang berlangsung di AGC, kerajaan Malaysia diwakili oleh peguam negara dan pegawainya serta seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Tujuan mesyuarat itu untuk membincangkan penghantaran pulang wang yang didakwa diambil oleh Jho Low daripada 1MDB.
“Selepas mesyuarat itu, yang pada masa itu kelihatan positif, ia dibatalkan oleh AGC secara tiba-tiba, atas sebab yang hanya diketahui mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, dilaporkan Jho Low, yang didakwa menyedut berbilion ringgit daripada 1MDB, menawarkan RM1.5 bilion kepada Putrajaya untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya.
Akhbar kewangan The Edge, yang memetik sumber yang tidak dinamakan, melaporkan bagaimanapun, kerajaan menolak tawaran itu.
Ia mendakwa Low diwakili oleh bekas peguam negara Apandi dalam rundingan itu.
Jho Low dikatakan sebagai perancang utama di sebalik skandal 1MDB dan didakwa tanpa kehadiran (in absentia) di mahkamah AS dan Malaysia.
Bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador sebelum ini dilaporkan berkata, individu buruan kelahiran Pulau Pinang itu dilindungi oleh “sebuah negara” dan usaha membawanya pulang masih tidak berjaya.
Low menghadapi lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan AS$1.03 bilion di Malaysia manakala Jabatan Kehakiman AS mendakwanya dengan konspirasi untuk mencuci berbilion dolar daripada 1MDB dan konspirasi melanggar Akta Amalan Rasuah Asing AS.
Low beberapa kali menafikan pembabitannya dalam skandal itu, mendakwa beliau hanya bertindak sebagai “perantara” buat bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini sedang dibicarakan berhubung perkara itu. – 16 Julai, 2022.
Komen