Tommy sokong Dr Mahathir tidak kerjasama dengan pasukan khas kes Pulau Batu Puteh


Ravin Palanisamy

Beliau menyokong Dr Mahathir berkait keputusan bekas perdana menteri itu tidak bekerjasama dengan pasukan petugas khas diketuai Apandi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2022.

BEKAS Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad membuat keputusan tepat untuk tidak bekerjasama dengan pasukan petugas khas yang ditugaskan membuat semakan semula keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kata bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Katanya Mohamed Apandi Ali yang juga merupakan bekas peguam negara itu bukan individu tepat untuk mempengerusikan pasukan itu memandangkan beliau yang menasihatkan kerajaan sebelum ini untuk memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) itu.

“Dr Mahathir sebenarnya ada alasan yang kukuh sebab satu-satunya orang yang berada di belakang percubaan Malaysia untuk semak semula kes Batu Puteh di mahkamah dunia adalah Apandi.

“Dr Mahathir bertindak tepat dengan mendengar nasihat perundangan (untuk tidak meneruskan kes tersebut). Saya sokong Dr Mahathir,” katanya ketika pelancaran bukunya versi Cina, ‘My Story: Justice in the Wildernesses’.

Tambahnya nasihat untuk tidak meneruskan kes itu diberikan kepada Dr Mahathir sebelum beliau menjadi Peguam Negara.

Free Malaysia Today sebelum ini melaporkan nasihat itu diberikan oleh perunding perundangan asing seperti dicatat pada dokumen mahkamah.

Selasa lalu, Dr Mahathir dipanggil pasukan petugas khas tersebut  namun Ahli Parlimen Langkawi itu meninggalkan perkarangan Jabtan Peguam Negara tidak sampai 15 minit selepas tiba di sana selepas mengetahui pasukan itu masih dipengerusikan oleh Apandi. – 3 Julai, 2022.

Berita lanjut di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen