Mahkamah tolak saman Apandi terhadap Kit Siang 


Mahkamah memerintahkan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali membayar kos RM80,000 kepada veteran DAP Lim Kit Siang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2022.

MAHKAMAH Tinggi hari ini menolak saman fitnah bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali terhadap veteran DAP Lim Kit Siang.

Lim pada 2019 telah menulis tentang bagaimana peguam negara ketika itu membersihkan Najib Razak daripada salah laku dalam 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Najib ketika itu adalah perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Hakim Azimah Omar mendapati kenyataan Lim, yang merupakan ahli Parlimen Iskandar Puteri, dalam artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia is on the road to integrity” bukan fitnah.

Mahkamah memerintahkan Apandi membayar kos RM80,000 kepada Lim.

Apandi memfailkan samannya pada Julai 2019, selepas artikel Lim diterbitkan pada Mei tahun itu.

Beliau telah menjadi peguam negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018.

Pada 2016, beliau mengeluarkan kenyataan akhbar yang membebaskan Najib daripada salah laku susulan siasatan oleh beberapa agensi penguatkuasaan tahun sebelumnya.

Dalam saman fitnahnya terhadap Lim, Apandi berkata artikel itu membayangkan beliau terlibat dalam jenayah dan telah mencemarkan nama baiknya.

Sementara itu, Najib disabitkan pada Julai 2020 atas tuduhan rasuah membabitkan RM42 juta dana milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Bekas perdana menteri itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Rayuannya di Mahkamah Persekutuan masih belum selesai. – 23 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen