Amaran Anwar untuk pemimpin PKR


Anwar memberi amaran itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2022 di Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Julai, 2022.

PKR tidak akan memilih pemimpin parti yang masih meneruskan persaingan dalaman sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata presidennya Anwar Ibrahim.

“Saya selaku presiden tidak akan memaafkan saudara di ranting, cabang, AMK (Angkatan Muda Keadilan), wanita yang memilih untuk meneruskan persaingan sebelum pemilihan parti. Kalau terus berlaku begitu, jaminlah tidak ada surat watikah (calon PRU) akan sampai ke saudara.

“Biduk lalu, kiambang bertaut. Memaknai dan menghayati idealisme lebih sukar dari sekadar mengolah dan mengungkapkannya. Gesaan ini terpakai untuk semua kepimpinan,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR dengan tema Menjulang Keadilan di Shah Alam, hari ini.

Anwar yang mempertahankan jawatan nombor satu parti tanpa bertanding dalam pemilihan PKR 2022, juga berikrar akan memastikan saf kepimpinan untuk bersatu, menghormati adab berjemaah dan kekal inklusif bagi merangkul semua kekuatan parti sebagai gerakan rakyat. 

Katanya PKR akan terus memperteguh hubungan bersama DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRU15, dan bersedia mewujudkan jaringan dengan semua parti politik pembangkang sealiran dari segi dasarnya.

“Saya tidak layan kenyataan yang berdolak dalih. PH akan kekal sebagai induk terkuat dan sebarang bentuk kerjasama dengan pembangkang mesti berteraskan prinsip yang sama dengan PH dan bukannya semata-mata ‘political expediency’ menuju PRU15,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke; Presiden Amanah Mohamad Sabu; Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – Bernama, 16 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen