Wanita didakwa bunuh amah Indonesia di Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

SEORANG wanita berusia 59 tahun hari ini didakwa didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kerana membunuh pembantu rumah Indonesianya.

M.A.S Ambika didakwa menyebabkan kematian Adelina Lisao, 26, pada jam 4 petang di rumahnya di Taman Kota Permai di Bukit Mertajam, pada 10 Februari lalu.

Tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu.

Kematian Adelina menghidupkan semula perbahasan di Indonesia tentang perlunya republik itu mempertingkatkan perlindungan ke atas warganya yang diambil bekerja di negara lain.

Majistret Muhamad Anas Mahadzir menetapkan 19 April untuk sebutan kes.

Peguam Muhaimin Hashim mewakili Ambika bagi pihak peguam Ramkarpal Singh.

Sementara itu, anak Ambika, R. Jayavartiny,32, didakwa kerana mengupah Adelina meskipun mengetahui wanita itu tidak mempunyai permit sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 55B (1) Akta Imigresen dari Mac 2017 hingga 10 Februari 2018.

Jika sabit kesalahan, dia akan didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM50,000, penjara tidak lebih daripada 12 bulan, atau kedua-keduanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Hamzah Azhan memohon mahkamah menetapkan ikat jamin pada RM20,000.

Peguam Jayavartiny, Muhaimin merayu kepada mahkamah supaya ikat jamin dikurangkan kepada RM12,000. Katanya, anak guamnya yang bekerja di bahagian jualan itu juga terpaksa mengumpul wang untuk pengurusan kes ibunya.

Anas membenarkan ikat jamin pada RM15,000 serta menetapkan 19 April untuk sebutan kes sementara menunggu penyerahan dokumen.

Abang Jayavartiny yang berusi 39 tahun yang turut ditahan reman, tekah dibebaskan sebagai saksi pihak pendakwaan.

Adelina, 28, berasal dari Nusa Tenggara Timur, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, 11 Februari lepas. Sehari sebelum itu, dia diselamatkan polis dari rumah majikannya di Bukit Mertajam dalam keadaan cedera di kepala, muka dan kedua-dua kaki.

Mangsa juga dipercayai dipaksa tidur di luar rumah bersama anjing peliharaan mereka.

Laporan bedah siasat mendedahkan Adelina maut akibat kegagalan organ yang disebabkan kekurangan darah, lapor Berita Harian.

The Jakarta Post melaporkan Indonesia bercadang membekukan sekali lagi penghantaran amah ke Malaysia selepas insiden yang menimpa Adelina. – 21 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen