Indonesia cadang beku amah ke Malaysia


INDONESIA bercadang membekukan sekali lagi penghantaran amah ke Malaysia selepas insiden dera sampai mati seorang pekerja warganegara republik itu di Pulau Pinang minggu lalu, lapor The Jakarta Post.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana berkata pembekuan semula itu akan membolehkan republik itu mengambil langkah memastikan kematian ke atas Adelina Lisao tidak berulang.

“Pembekuan itu mustahak supaya kita boleh menyusun semula sistem pengambilan tenaga kerja Indonesia untuk mengelak kes seperti Adelina terjadi lagi,” kata Rusdi, seperti dipetik The Jakarta Post.

Katanya, kejadian mendera pembantu rumah Indonesia itu telah menyebabkan ketegangan dengan Malaysia.

“Apa yang berlaku terhadap Adelina tidak patut terjadi lagi, ini supaya (Indonesia dan Malaysia) dapat mempromosikan kerja sama erat (kembali),” katanya seperti di petik.

Cadangan pembekuan itu juga sudah dimaklumkan kepada Presiden Joko Widodo, yang menurut Rusdi, menyambut baik usul tersebut. 

Menurut duta itu, Jokowi juga mahukan tindakan tersebut diambil, kerana perkara yang sama sudah dibangkitkan oleh presiden itu pada pertemuan dengan Perdana Menteri Najib Razak pada rundingan dua hala tahunan di Kuching pada November tahun lalu.

Menurut The Jakarta Post, kematian Adelina menghidupkan semula perbahasan di republik itu tentang perlunya Indonesia mempertingkatkan perlindungan ke atas warganya yang diambil bekerja di negara lain.

Ia juga menimbulkan semula perdebatan apakah Indonesia wajar mengirimkan rakyatnya bekerja di negara yang terlibat dalam rangkaian jaringan penyeludupan manusia, lapor akhbar itu.

Sementara itu, pegawai kanan di Kementerian Tenaga Kerja Indonesia, R Soes Hindharno berkata cadangan pembekuan pembantu rumah itu belum dibincangkan lagi pada peringkat kementerian.

Katanya, dari segi teknikal, sesebuah negara hanya boleh mengambil pekerja Indonesia sekiranya sudah menandatangani memorandum persefahaman menjamin kesejahteraan pekerja yang terlibat.

“MoU dengan Malaysia berakhir pada 2016 dan tidak pernah diperbaharui,” kata Soes, seperti dipetik oleh The Jakarta Post.

Indonesia pernah mengenakan sekatan sama selama dua tahun sebelum MoU tersebut ditandatangani pada 2011. 

Malaysia dan Indonesia menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi membincangkan pelbagai perkara menyentuh hak pekerja dan majikan, sebelum MoU itu luput pada 2016. Namun sehingga kini belum diperbaharui.

Jawatankuasa berkenaan, menurut The Jakarta Post, sudah bertemu sebanyak 11 kali, dengan pertemuan yang terakhir pada 2014.

Bagaimanapun, tahun lalu ketika membentangkan Bajet 2018, Najib berkata kerajaan telah membenarkan majikan merekrut pembantu rumah asing secara terus daripada sembilan negara termasuklah Indonesia.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Mustafar Ali berkata proses pengambilan pembantu rumah asing hanya mengambil masa lapan hari melalui Online Maid System (SMO) yang sudah berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu.

Adelina, 28, berasal dari Nusa Tenggara Timur, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, Ahad lepas. Sehari sebelum itu, dia diselamatkan polis dari rumah majikannya di Bukit Mertajam dalam keadaan cedera di kepala, muka dan kedua-dua kaki.

Mangsa juga dipercayai dipaksa tidur di luar rumah bersama anjing peliharaan mereka.

Laporan bedah siasat mendedahkan Adelina maut akibat kegagalan organ yang disebabkan kekurangan darah, lapor Berita Harian.

Polis kemudian menahan dua adik beradik serta ibu mereka berusia 60 tahun untuk siasatan lanjut. 

Dua beradik majikan Adelina disambung tahanan remannya selama tujuh hari sehingga 21 Februari ini. Ibu mereka ditahan reman seminggu sehingga 19 Februari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksanaan kerana jenayah bunuh. – 17 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen