Proses ambil pembantu rumah 8 hari


PROSES penggajian pembantu rumah asing (PRA) dalam talian melalui Sistem Maid Online (SMO) akan mengambil masa seawal lapan hari saja, kata Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali.

Bermula 1 Januari, beliau berkata majikan boleh mengemukakan permohonan dalam talian melalui SMO (http://maid-online.imi.gov.my/maid/main) untuk mengambil pembantu rumah dari sembilan negara sumber iaitu Indonesia, Filipina, Sri Lanka, Thailand, India, Laos, Nepal, Vietnam dan Kemboja.

Bagi pihak majikan, beliau berkata proses akan bermula dengan daftar masuk, pendaftaran majikan dan PRA serta mengemukakan keputusan pemeriksaan kesihatan (FOMEMA) yang dijangka mengambil masa kira-kira tiga hari.

“Selepas menerima permohonan daripada majikan, Jabatan Imigresen akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima hari untuk semakan dokumen, kelulusan, bayaran dan cetakan Pas Lawatan Kerja Sementara,” katanya.

Mustafar berkata SMO merupakan sistem yang cepat, tepat dan jimat kos dengan ia dapat membasmi penyertaan ejen berikutan majikan yang akan memasukkan maklumat sendiri dan PRA dengan satu kata laluan.

Selain itu, katanya kos penggajian PRA adalah jauh lebih rendah iaitu RM1,635 berbanding RM12,000 hingga RM18,000 sebelum ini.

“Kerajaan yakin sistem ini akan meningkatkan tahap produktiviti, mengurangkan tanggungan kos berkaitan rumah tangga dan penjagaan anak-anak.

“Ia juga menggalakkan penyertaan isi rumah khususnya golongan B40 dalam pasaran pekerjaan negara, sekali gus meningkatkan penjanaan pendapatan dan taraf hidup isi rumah,” katanya.

Perdana Menteri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018 mengumumkan kerajaan membenarkan majikan memohon PRA secara terus dalam talian bermula 1 Januari, 2018.

Mustafar berkata antara syarat kelayakan majikan adalah majikan mesti terdiri daripada suami isteri yang mempunyai anak berumur bawah 15 tahun yang memerlukan jagaan dan perhatian, anak kelainan upaya (tanpa had umur), majikan atau isteri yang sakit/uzur atau ibu bapa yang uzur.

“Majikan yang terdiri daripada suami isteri hanya boleh menggaji seorang PRA saja pada satu-satu masa,” katanya.

Mustafar berkata antara syarat kelayakan PRA pula mereka mestilah berada dalam negara atas Pas Lawatan Sosial yang sah dan tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara yang aktif dengan majikan lain.

Beliau berkata PRA yang tinggal lebih masa di Malaysia bermula 1 Januari hingga 31 Disember atas Pas Lawatan Sosial saja yang layak untuk memohon namun permohonan hanya akan dibuka untuk tempoh enam bulan saja iaitu 1 Januari hingga 30 Jun tahun depan.

“Majikan perlu mendaftar dalam sistem terlebih dulu dan akan dirujuk ke Bahagian Penguatkuasaan untuk tindakan kompaun,” katanya sambil memberitahu kompaun berkenaan termasuk RM500 kepada majikan, bakal PRA (RM300) dan bayaran pas khas (RM100).

Oleh itu, jumlah kos bayaran untuk pengambilan PRA yang memiliki Pas Lawatan Sosial yang tinggal lebih masa ialah RM2,535, katanya.

Beliau memberitahu PRA yang berada di negara ini tetapi memiliki pas selain daripada Pas Lawatan Sosial juga tidak layak mengemukakan permohonan.

Sebarang pertanyaan mengenai permohonan pengambilan PRA boleh merujuk secara terus kepada pusat panggilan Unit Pembantu Rumah Asing melalui talian 03-88801468 atau e-mel [email protected] atau merujuk kepada Bilik Gerakan JIM pada 8.30 pagi hingga 11 malam melalui talian 03-8880 1555. – Bernama, 29 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen