Farmasi, hospital swasta ganding bahu tangani isu kekurangan ubat


Pemberitahuan awal mengenai kekurangan produk tertentu membolehkan langkah alternatif dilaksanakan dengan segera, kata APHM dan PhAMA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2022.

FARMASI perlu memaklumkan lebih awal kepada penyedia jagaan kesihatan kemungkinan berlakunya masalah kekurangan bekalan ubat-ubatan supaya langkah alternatif dapat diatur, kata dua persatuan.

Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA) dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu perlu bagi memastikan isu kekurangan ubat dapat diatasi.

Presiden APHM Dr Kuljit Singh dan Presiden PhAMA Chin Keat Chyuan berkata ia berdasarkan persetujuan yang dicapai antara pihak farmasi dan penyedia jagaan kesihatan dalam satu dialog baru-baru ini, yang menggariskan enam komitmen.

Pemberitahuan awal mengenai kekurangan produk tertentu membolehkan langkah alternatif dilaksanakan dengan segera, kata mereka dalam kenyataan bersama.

“Pemberitahuan awal akan melibatkan pihak berkepentingan lain seperti Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).”

Langkah-langkah lain yang dipersetujui dalam dialog tersebut termasuk penyelarasan antara semua pihak terbabit bagi memudahkan pinjaman bekalan ubat-ubatan dibuat, termasuk pendigitalan untuk mempercepatkan proses.

“Kami akan bekerjasama melibatkan diri dengan program perkhidmatan farmasi dan NPRA bagi meningkatkan akses ubat kepada pesakit.

“Kami juga akan terus melibatkan diri dalam penetapan harga ubat dan pembiayaan kesihatan susulan peningkatan ketara kos logistik, bahan farmaseutikal aktif (API), tenaga buruh dan lain-lain,” kata mereka.

Awal bulan ini Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengakui klinik swasta dan farmasi kekurangan stok ubat-ubatan bagi demam, batuk, selesema dan cirit-birit serta antibiotik.

Kekurangan itu katanya disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan, yang menyebabkan kelewatan penghantaran.

Khairy berkata bekalan paracetamol dan vitamin C turut rendah akibat kekurangan bahan mentah dan gangguan disebabkan pandemik Covid-19, khususnya semasa penularan varian Omicron. – 6 Julai, 2022.     



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen