Kebimbangan bekalan farmasi di Rusia


Kebimbangan kekurangan stok insulan dan peralatan perubatan di Rusia muncul selepas gelombang sekatan Barat berhubung konflik di Ukraine mula melanda ekonomi Rusia dengan berpuluh-puluh jenama utama Barat mengumumkan keluar dari pasaran. – Gambar EPA, 9 Mac, 2022.

RUSIA sedang berhadapan kekurangan stok insulin dan bekalan perubatan penting lain yang dihasilkan di luar negara, lapor akhbar perniagaan Kommersant pada Rabu, termasuk bahan mentah utama untuk pengeluaran ubat.

Kebimbangan itu muncul selepas gelombang sekatan Barat berhubung konflik di Ukraine mula melanda ekonomi Rusia dengan berpuluh-puluh jenama utama Barat mengumumkan keluar dari pasaran.

Pengawal selia perubatan persekutuan Roszdravnadzor dan persatuan farmasi kebangsaan mengaitkan kekurangan insulin dengan “permintaan pengguna yang mendesak,” kata Kommersant.

Media itu, bagaimanapun, mendakwa kebanyakan ubat diabetes yang digunakan di Rusia turut dihasilkan di negara itu malah tiada gangguan pada rantaian pengeluaran dan pengedaran.

Beberapa pesakit yang ditemu bual oleh Kommersant berkata terdapat kebimbangan terhadap insulin kerana peranti perubatan lain yang digunakan oleh pesakit kencing manis dihasilkan di luar negara, dan mereka menjangkakan kenaikan harga atau kekurangan bekalan yang disebabkan oleh sekatan.

Sekatan Barat terhadap pencerobohan tentera Rusia di Ukraine setakat ini memberi tumpuan kepada bank Rusia serta minyak dan gas, tanpa menyasarkan sektor perubatan.

Namun, Kommersant berkata, syarikat Rusia boleh dibiarkan tanpa bahan mentah dan komponen yang diimport.

Ia melaporkan penghantaran dari Eropah telah dihentikan dan penghantaran dari China dan India – yang menyumbang sehingga 80 peratus daripada import - telah dihalang oleh gangguan rantaian bekalan.

Saham tempatan dijangka bertahan tiga hingga enam bulan, katanya.

Kejatuhan Kesatuan Soviet menyaksikan industri farmaseutikal Rusia runtuh dan membawa kepada tempoh di mana negara itu bergantung kepada makmal Barat.

Moscow berusaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada Barat, satu dasar yang dimajukan selepas sekatan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat berikutan konflik semenanjung Crimea oleh Rusia pada 2014.

Bagaimanapun, pengeluaran tempatan masih banyak bergantung kepada bahan mentah yang diimport. – AFP, 9 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen