Pakatan undang pemerhati antarabangsa pantau PRU14


Amin Iskandar Noel Achariam

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya menulis surat kepada beberapa agensi antarabangsa untuk meminta mereka memantau perjalanan PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 Februari, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) sudah menulis surat kepada beberapa agensi antarabangsa untuk meminta mereka memantau perjalanan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi PH itu berkata perkara tersebut antara yang dibincangkan secara serius dalam mesyuarat Majlis Presiden hari ini.

“Kita menulis surat kepada beberapa agensi antarabangsa termasuk (Sekretariat) Komanwel, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sebagainya.

“Walaupun kita sedar untuk mendapatkan pemerhati luar, kebenaran atau kelulusan mestilah dibuat oleh pihak kerajaan,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Petaling Jaya hari ini.

Dr Mahathir berkata jika kerajaan Malaysia tidak membenarkan kemasukan pemerhati antarabangsa, PH mengharapkan agar agensi antarabangsa ini dapat memberikan perhatian serius terhadap perjalanan PRU14 di Malaysia lama lagi.

“(Jika pemerhati antarabangsa tidak dibenarkan), sekali lagi kerajaan menyalahgunakan kuasanya menyembunyikan proses pilihan raya ini supaya dapat kemenangan kepada (parti) kerajaan,” kata bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir merupakan satu-satunya perdana menteri Malaysia yang menjemput pemerhati pilihan raya antarabangsa untuk memantau pilihan raya di Malaysia.

Pada 1990, Dr Mahathir membenarkan pemantau antarabangsa daripada Sekretariat Komanwel untuk memantau pilihan raya umum pada tahun itu selepas Umno mengalami perpecahan terbesar pada 1987. – 20 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen