Myanmar bakar pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM3 bilion


Seorang anggota polis mengambil gambar timbunan pelbagai jenis yang terbakar semasa 'Majlis Pemusnahan Dadah Dirampas' yang diadakan sempena sambutan Hari Dadah Sedunia di Yangon, Myanmar, hari ini. – Gambar EPA, 26 Jun, 2022.

PIHAK berkuasa Myanmar membakar pelbagai jenis dadah yang dirampas bernilai hampir RM3 bilion sebagai sebahagian daripada usaha membasmi barang terlarang itu sempena Hari Dadah Sedunia, hari ini.

Ia juga selaras dengan amaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai pengeluaran methamphetamine di rantau itu yang mencapai paras membimbangkan.

Hampir dua tan heroin dan lebih 630 juta pil kuda dibakar di hab komersial Yangon, pusat bandar Mandalay dan negeri Shan, kata pihak berkuasa.

Namun, beberapa penganalisis memberi amaran unggun api bernilai AS$642 juta (RM2.826 bilion) adalah sebahagian daripada permainan lapuk dimainkan kerajaan junta yang tidak serius menangani masalah itu.

Pembakaran yang disiarkan di televisyen mewakili “khayalan selama sedekad” mengenai industri dadah Myanmar, kata penganalisis bebas David Mathieson kepada AFP.

“Tentera berpura-pura serius membasmi dadah dan Barat berpura-pura mempercayainya,” katanya.

Terdapat “komplit tentera aktif dalam melindungi pengeluaran dadah berskala besar untuk memastikan kestabilan dalam zon konflik”, tambah Mathieson.

Ini termasuk negeri Shan – sumber utama pil kuda Asia Tenggara, menurut PBB.

Negeri itu adalah kubu kepada puak militan dan menyaksikan sedikit keganasan menentang tentera sejak jeneral Myanmar merampas kuasa tahun lalu.

Pada majlis itu di Yangon, bungkusan pil kuda yang dibalut dalam pembungkusan teh Cina diletakkan bersama bata ganja serta beg ketamin dan MDMA.

Beberapa siri letupan kecil berlaku sebelum kepulan asap hitam tebal berkepul-kepul ke langit.

Anggota bomba bergerak masuk untuk keselamatan dan pegawai polis mengambil swafoto dengan berlatarbelakangkan kebakaran manakala muzik pop Burma bergema melalui alat pembesar suara. – AFP, 26 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen