Putera Mahkota Arab Saudi, PM Iraq bincang 'kestabilan serantau'


Pemerintah de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan Perdana Menteri Iraq Mustafa al-Kadhemi sepakat memperkukuh hubungan dua hala dan mewujudkan peluang kerjasama. – Gambar EPA, 26 Jun, 2022.

PERDANA Menteri Iraq Mustafa al-Kadhemi bertemu pemerintah de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman hari ini sebagai sebahagian daripada usaha Baghdad untuk menjadi pengantara antara Riyadh dan Tehran.

Kadhemi yang berlepas ke Arab Saudi semalam dijangka meneruskan lawatan ke Iran, pesaing serantaunya di mana Riyadh tidak mempunyai hubungan diplomatik sejak 2016.

Putera Mohammed dan Kadhemi sepakat memperkukuh “hubungan dua hala dan mewujudkan peluang kerjasama”, lapor Agensi Akhbar rasmi Saudi.

“Mereka bertukar pandangan mengenai beberapa isu yang akan menyumbang kepada menyokong dan mengukuhkan keselamatan dan kestabilan serantau,” tambahnya.

Iraq sepanjang tahun lalu menjadi tuan rumah lima pusingan rundingan antara dua pesaing serantau itu, dengan sesi terakhir diadakan pada April.

Kadhemi berkata pada masa itu beliau percaya “rekonsiliasi sudah hampir” antara Riyadh dan Tehran, gambaran selanjutnya tentang peralihan penjajaran politik di seluruh rantau ini.

Pada Sabtu, sumber kabinet Iraq berkata penerbangan Kadhemi ke Arab Saudi dan Iran “hadir dalam konteks rundingan yang diadakan Riyadh dan Tehran baru-baru ini di Baghdad”.

Sumber itu berkata rundingan itu “mewakili laluan untuk membaiki hubungan dan kembali ke jalan yang betul untuk mengukuhkan hubungan dua hala” antara Arab Saudi dan Iran, yang menyokong pihak saingan di zon konflik di sekitar rantau itu.

Arab Saudi merupakan negara Ahli Sunah Waljamaah manakala Iran yang majoritinya Syiah tidak mempunyai hubungan diplomatik selama enam tahun, sejak penunjuk perasaan Iran menyerang misi diplomatik Saudi di Iran selepas kerajaan itu menghukum mati ulama Syiah Nimr al-Nimr.

Riyadh bertindak balas dengan memutuskan hubungan dengan Tehran.

Pada awal Mac, Putera Mohammed berkata negaranya dan Iran adalah “jiran selamanya”, dan “lebih baik untuk kita berdua menyelesaikannya dan mencari cara untuk hidup bersama”.

Sebaik tiba di Arab Saudi, Kadhemi sempat menunaikan Umrah, di kota suci Mekah, menurut gambar yang dikeluarkan pejabatnya. – AFP, 26 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen