PM Iraq seru semua bertenang selepas kediaman diserang dron


PM Iraq Mustafa al-Kadhemi menyeru penyokong bertenang selepas kediamannya diserang dron. – Gambar EPA, 7 November, 2021.

PERDANA Menteri Iraq Mustafa al-Kadhemi berkata beliau tidak cedera dan merayu semua pihak bertenang dan bersabar selepas kediamannya di Zon Hijau Baghdad  diserang dron pada pagi Ahad ketika ketegangan politik semakin memuncak di negara itu.

“Saya baik-baik saja, segala puji bagi Allah, dan saya menyeru agar semua orang bertenang dan mengawal diri demi kebaikan Iraq,” tulis Kadhemi di Twitter, selepas kejadian yang disifatkan pejabatnya sebagai “percubaan bunuh yang gagal”.

Dua sumber keselamatan sebelum ini mengesahkan serangan di Zon Hijau yang dikawal ketat, turut menempatkan kedutaan Amerika Syarikat dan sering menjadi sasaran serangan roket.

Sebilangan besar pasukan keselamatan dikerahkan di dalam dan sekitar Zon berikutan serangan itu, menurut sumber keselamatan.

Serangan itu berlaku ketika ketegangan politik yang memuncak berhubung keputusan pilihan raya 10 Oktober.

Keputusan awal tinjauan itu menyaksikan Perikatan Fatah, cabang politik rangkaian separa tentera Hashed al-Shaabi berbilang parti pro-Iran, mengalami kekalahan ketara di kerusi Parlimennya. Penyokong kumpulan itu mengecam keputusan itu dan menyifatkannya sebagai “penipuan”.

Ratusan penyokong Hashed bertempur dengan polis pada hari Jumaat semasa membuat bantahan berhampiran Zon Hijau untuk melepaskan kemarahan mereka terhadap keputusan pilihan raya.

Seorang penunjuk perasaan meninggal dunia akibat kecederaan di hospital, menurut sumber keselamatan, manakala sumber Hashed berkata dua penunjuk perasaan terbunuh.

Kementerian kesihatan melaporkan 125 kecederaan, kebanyakannya daripada pasukan keselamatan.

Ratusan penyokong kumpulan pro-Iran kembali ke Zon Hijau pada Sabtu untuk memprotes

Ada yang membakar potret perdana menteri, yang mereka panggil “penjenayah”.

Menurut pengiraan awal, Perikatan memenangi sekitar 15 daripada 329 kerusi di Parlimen bulan lalu, turun daripada 48 yang disandang sebelum ini, menjadikannya blok kedua terbesar.

Pemenang besar kali ini, dengan lebih 70 kerusi mengikut kiraan awal, adalah gerakan Moqtada Sadr, seorang pendakwah Islam Syiah yang berkempen sebagai nasionalis dan pengkritik Iran.

Keputusan pilihan raya akhir dijangka dalam beberapa minggu lagi. – AFP, 7 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen