Pulau Batu Puteh atau Pulau Buatan Forest City yang ancam kedaulatan wilayah?


KENYATAAN Pemuda Umno dan Adun Tanjung Surat Aznan Tamin yang menyalahkan Dr Mahathir Mohamad kerana memutuskan untuk menolak cadangan semakan kehakiman terhadap penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Pedra Branca (Pulau Batu Puteh), membuktikan Umno sentiasa berniat jahat dan menangguk di air yang keruh.

Umno Johor seharusnya melihat masalah ini dari perspektif yang lebih mendasar dan luas, bukan dari sudut yang sempit dan politik murahan. 

Ya, ada kebenaran apabila dia menyentuh ucapan Dr Mahathir yang merujuk Pulau Batu Puteh sebagai “pulau yang bersaiz sebesar meja” kerana saiznya memang kecil berbanding pulau buatan Forest City itu.

Dalam isu Pulau Batu Puteh ini, sudah menjadi rahsia umum bahawa masalah pemilikan Pulau Batu Puteh ini melibatkan satu dokumentasi sejarah yang panjang yang bermula sejak zaman pemerintahan British lagi, bukan 10 tahun dahulu.

Malah, kebanyakkan dokumen-dokumen ini tidak disimpan didalam arkib sejarah kita (dalam negara). Dan, kita perlu ingat bahawa persoalan tuntutan Pulau Batu Puteh adalah urusan antara negara dengan negara, bukan negeri.

Kelemahan dalam aspek pendokumentasian dokumen-dokumen penting sejarah negara yang tidak lengkap atau tidak betul ketika itu (2007), menjadi faktor hingga menjejaskan usaha membuat sesuatu tuntutan atau pertikaian mengenai kedaulatan sesuatu wilayah. 

Ketika itu, apabila kita membawa kes Pulau Batu Puteh ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), kita telah bersetuju dan bersedia dengan keputusan ICJ bahawa apa jua keputusan itu, ia tidak boleh dirayu. 

Jika benar dakwaan wujud bukti baharu untuk mencabar keputusan ICJ itu, persoalannya mengapa bukti itu baru ditemui selepas ICJ membuat keputusan yang tidak boleh dirayu itu? 

Ini bermakna, pada peringkat awal lagi pasukan peguam kerajaan pada masa itu tidak cukup bersedia dengan bahan bukti yang lengkap. Maka ia salah siapa?

Jika Umno Johor benar-benar mahu menjaga kedaulatan wilayah, ada isu yang lebih utama seharusnya Umno persoalkan. 

Mengapa Umno tidak membangkitkan isu pemilikan asing di kawasan pembangunan Forest City yang tidak memberi faedah langsung kepada rakyat Johor? 

Apa guna pembangunan di Johor tapi ia milik warga asing? Bukankah ini juga mempertaruhkan kedaulatan dan keselamatan negara?

Malah isu ini bukan hanya di Forest City saja, tetapi banyak lagi kawasan strategik ekonomi di Johor kini dijual kepada orang asing. Kenapa Umno berdiam diri?

Sebelum kita menuding jari mencari salah orang lain, kita patut bersihkan dulu kekotoran yang kita buat. – 26 Jun, 2022.

* Mahdzir Ibrahim, penyelaras Parlimen Parit Sulong, Parti Pejuang Tanah Air



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen