Dr Mahathir kata tidak pernah sokong projek Forest City


DR Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak pernah menyokong projek Forest City dan dakwaan Najib Razak adalah cubaan untuk mencemarkan nama baiknya.

Sebaliknya, bekas perdana menteri itu berkata beliau menentang projek di Johor yang diluluskan oleh kerajaan Najib.

Ahli Parlimen Langkawi itu menjawab tuduhan Najib pada 26 Disember. Najib berkata Dr Mahathir telah menyerahkan sijil pada satu acara di Forest City yang menunjukkan sokongan terhadapnya.

Forest City adalah salah satu projek yang tidak boleh dimansuhkan oleh kerajaan PH kerana ia memerlukan pampasan berbilion ringgit.

“Kerana Najib telah hutang berbilion Ringgit, kerajaannya terpaksa mendapat bantuan swasta sebanyak RM2 bilion untuk bayar faedah hutang,” kata Dr Mahathir di Facebook hari ini.

Dr Mahathir berkata kerajaan PH hanya mampu menasihat Country Garden supaya rumah kos rendah yang boleh dibeli oleh orang Melayu dan Cina Malaysia perlu disediakan, yang mana ia dipersetujui oleh kumpulan itu.

Beliau berkata menteri perumahan dan kerajaan tempatan ketika itu Zuraida Kamaruddin melancarkan Dasar Komuniti Negara pada 17 Februari 2019.

“Saya dijemput untuk sampaikan sijil kepada antara lain Forest City kerana mengubah perancangan mengikut kehendak kerajaan Malaysia. Ia bukan pengiktirafan projek Forest City yang telah pun dilulus oleh kerajaan Najib Razak,” katanya. – 6 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen