Kawal lambakan rumah supaya tidak jadi seperti Hong Kong, kata PM


SM Amin

Dr Mahathir Mohamad berkata ia melibatkan rumah yang sepatutnya mampu dibeli oleh orang Malaysia tetapi tidak dibeli oleh orang tempatan dan berbeza dengan pembangunan mewah seperti Forest City di Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2019.

KEPUTUSAN kerajaan membenarkan warga asing membeli rumah berharga RM600,000 untuk mengelakkan krisis akibat lambakan hartanah yang tidak terjual, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, krisis itu boleh dilihat berlaku di Hong Kong dan Tokyo apabila banyak hartanah mewah tidak terjual kerana harga terlalu tinggi.

Jelasnya, ia melibatkan rumah yang sepatutnya mampu dibeli oleh orang Malaysia tetapi tidak dibeli oleh orang tempatan dan berbeza dengan pembangunan mewah seperti Forest City di Johor.

Bila berlaku lambakan rumah tidak terjual, kita perlu buka kepada warga asing, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 15 Oktober, 2019.

“Forest City itu berbeza. Ia pembangunan mewah yang mana rakyat Malaysia tidak mampu beli. Hartanah yang kita turunkan harga ini orang Malaysia mampu beli tetapi tidak ramai rakyat kita yang membeli.

“Bila berlaku lambakan rumah tidak terjual, kita perlu buka kepada warga asing. Jika tidak pemaju akan dapat masalah.

“Jadi kita mahu selesaikan masalah lambakan hartanah supaya pasaran hartanah kembali pulih,” ujarnya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas kritikan pembangkang yang antara lain bimbang dasar itu akan menyebabkan pemaju menaikkan harga rumah lain yang sepatutnya mampu dimiliki rakyat tempatan.

Langkah itu bagi mengatasi lambakan rumah ekoran sikap pemaju yang lebih banyak mendirikan rumah mewah dan mengabaikan kemampuan golongan pertengahan dan berpendapatan rendah. – 15 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen