Graduan TVET boleh bantu selesaikan masalah buruh, kata MTUC


Alfian Z.M. Tahir

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata graduan TVET boleh membantu menyelesaikan isu buruh di negara ini dalam jangka masa panjang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2022.

GRADUAN Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) boleh membantu menyelesaikan isu buruh di negara ini dalam jangka masa panjang, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Setiausaha Agung Kamarul Baharin Mansor berkata kerajaan juga mesti menggalakkan dan menyokong industri menggunakan automasi dan teknologi baharu.

“Kita mesti memperkukuh TVET dan memberikan lebih publisiti.

“Ketika ini ramai pemain industri tidak menghargai graduan TVET, menganggap mereka tidak cukup mahir atau dilengkapi dengan pengetahuan yang mencukupi.

“Putrajaya mesti lebih mempromosikan proses pendidikan ini dan memastikan orang ramai memahami bahawa graduan ini bukan sekadar mekanik atau pekerja kilang.

“Kita perlu mengubah cara orang melihat TVET kerana persepsi semasa ialah TVET tidak mempunyai masa depan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kamarul berkata ibu bapa tidak seharusnya berasa malu sekiranya anak-anak mereka diterima masuk ke institusi TVET.

Negara seperti Jepun dan Korea Selatan dibangunkan dalam banyak industri hasil daripada pekerja mahir, tambahnya.

“Jangan berkecil hati sekiranya anak anda diterima menyertai program TVET dan tidak akan melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Tidak semua dilahirkan untuk menjadi doktor atau peguam, ada yang dilahirkan dengan kemahiran dan perlu mendapat lebih banyak pendedahan serta pendidikan untuk berjaya,” katanya.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar awal minggu ini berkata mereka akan meningkatkan usaha untuk mendidik orang ramai tentang potensi besar TVET.

Menteri Mahdzir Khalid berkata kementeriannya menyasarkan untuk mempromosikan kursus seumpama itu sebagai pilihan utama dalam kalangan belia.

Sejumlah 48,800 pelajar kini mendaftar dalam 515 program - daripada peringkat sijil hingga pasca siswazah di institusi teknikal di bawah kementerian. 

Ketinggalan dalam inovasi

Kamarul berkata tidak banyak yang berubah berhubung penggunaan teknologi terkini sejak 10 tahun lalu.

“Banyak pekerjaan terutama di kilang dan ladang memerlukan tenaga yang banyak tetapi kita membazir tenaga dengan menggunakan kaedah lama. Kita memerlukan teknologi baru dan moden untuk meningkatkan pengeluaran.

“Sebagai contoh pekerja masih menggunakan kekuatan sendiri untuk mengutip tandan buah yang masing-masing boleh mencapai berat sehingga 20kg di ladang kelapa sawit walaupun wujud mesin yang boleh membantu mempercepatkan kerja.

“Kita masih ketinggalan dalam inovasi, tidak banyak yang berubah dalam sistem kita,” katanya.

Beliau berkata beberapa nama jawatan pekerjaan juga perlu dijenamakan semula untuk menarik lebih ramai penduduk tempatan.

“Daripada memanggil seseorang sebagai pekerja ladang kita sepatutnya memberi jawatan itu nama yang lebih profesional. Mungkin…pembantu ladang. Ini boleh membantu memodenkan industri,” katanya.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tahun lepas berkata bidang teknikal kekal relevan dan terus berkembang di Malaysia sejajar dengan aspirasi Revolusi Perindustrian Keempat.

Putrajaya di bawah Bajet 2022 memperuntukkan RM6.6 bilion untuk mengukuhkan TVET, tambahnya. – 25 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen