Kenal pasti kaedah atasi kekurangan pekerja ladang, kata menteri


Harga purata minyak sawit mentah adalah RM4,100 1 tan berbanding RM2,700 1 tan pada 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2021.

KERAJAAN akan mengenal pasti kaedah bersesuaian untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh di sektor perladangan terutama sawit, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Menurutnya, pada masa ini terdapat dua kaedah jangka pendek yang dianggap sesuai iaitu memperhebat program rekalibrasi tenaga kerja atau membawa masuk tenaga buruh asing baharu.

Tegasnya, selaku menteri yang membantu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam hal berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang turut terkesan, beliau sekali lagi membangkitkan masalah itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri Jumaat lalu.

Malah, beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan seperti wakil industri, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan mengenai kaedah penyelesaian jangka pendek yang sewajarnya.

“Saya harap dalam 2 ke 3 minggu ini kita akan dapat selesaikan (masalah tenaga buruh)... kalau tidak industri sawit akan menghadapi masalah besar.

“Masalah ini bukannya mudah diatasi tetapi (pada masa sama) kita perlu pastikan ia dapat diselesaikan dalam tempoh itu,” katanya kepada media selepas majlis program pemberian bakul makanan di Putrajaya, hari ini.

Mustapa mengulas laporan akhbar mengenai industri sawit yang berisiko kehilangan pendapatan sehingga RM20 bilion setahun akibat kekurangan tenaga kerja yang kritikal sejak penularan Covid-19.

Sektor perladangan sawit juga dilaporkan berdepan masalah kekurangan pekerja terutama di bahagian penuaian dengan anggaran 75,000 kekosongan jawatan belum diisi ketika ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kerajaan sudah memperkenalkan program rekalibrasi tenaga kerja yang memberi peluang kepada majikan sektor perladangan, pertanian, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan menggaji pendatang asing tanpa izin (Pati) bagi menampung kekurangan tenaga kerja tetapi ia tidak mendapat sambutan menggalakkan.

“Pada April lalu, kerajaan sebenarnya sudah memberi kelulusan untuk buruh asing diambil bekerja di ladang sawit melalui proses itu. Malangnya, ia tidak mendapat sambutan daripada buruh asing,” katanya yang menyifatkan buruh asing sebagai antara komponen penting bagi memastikan industri sawit berdaya saing.

Mustapa berkata, ketika ini harga purata minyak sawit mentah adalah RM4,100 1 tan berbanding RM2,700 1 tan pada 2020.

Jika tidak ditangani segera, isu itu boleh menyebabkan syarikat berkaitan industri sawit seperti Felda dan FGV Holdings Bhd berdepan risiko kerugian sebanyak RM3.2 bilion setahun.

Menurutnya, kerugian Felda dan FGV juga mencecah RM1.6 bilion untuk enam bulan pertama tahun ini dan masing-masing memerlukan seramai 5,000 pekerja dan 10,000 pekerja.

“Bagi (buruh asing) yang nak memasuki Malaysia, kita faham ada prosedur operasi standard (SOP) dan tempohnya mungkin lambat sikit.

“Tetapi untuk mereka yang sudah berada di Malaysia, bagi saya, program rekalibrasi tenaga kerja ini penting dan perlu diberi keutamaan,” katanya.

Mengulas kaedah penyelesaian jangka panjang, beliau berkata, ia membabitkan penggunaan mekanisasi selain menggalakkan warga tempatan menyertai sektor perladangan menerusi kenaikan gaji dan faedah bersesuaian. – Bernama, 12 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen