Pasaran buruh alami momentum tak sekata, kata Jabatan Perangkaan


Senario pasaran buruh pada suku ini belum kembali seperti tempoh sebelum Covid-19, katanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2021.

PASARAN buruh Malaysia mengalami momentum pemulihan tidak sekata pada suku pertama (S1) 2021 berikutan langkah bersasar bagi mengurus krisis kesihatan awam negara yang berlarutan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Mengulas laporan Sorotan Pasaran Buruh, Suku Pertama 2021 (LMR S1 2021) hari ini, Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata masih ramai orang melibatkan diri dalam pasaran buruh pada S1 2021 seperti yang dipaparkan oleh penurunan kecil penglibatan tenaga buruh sebanyak 0.2 titik peratusan kepada 68.6 peratus berbanding penurunan 0.6 titik peratusan pada suku keempat (S4) 2020.  

Dari segi penawaran tenaga buruh, beliau berkata jumlah mereka yang bekerja merekodkan sedikit penurunan tahun ke tahun sebanyak 7,000 kepada 15.24 juta orang pada S1 2021 berbanding penurunan sebanyak 93,000 pada suku sebelumnya.

Bagaimanapun katanya bilangan penganggur kekal tinggi sejak suku kedua (S2) 2020, dengan tambahan 225,000 daripada 547,000 orang pada S1 2020 kepada 772,000 orang penganggur pada suku ini.

“Justeru, kadar pengangguran meningkat 1.3 titik peratusan tahun ke tahun kepada 4.8 peratus (S1 2020: 3.5 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam S1 2021, bilangan luar tenaga buruh meningkat 2.1 peratus kepada 7.32 juta orang berbanding 7.16 juta orang pada S1 2020, katanya.

Mohd Uzir berkata wanita merupakan lebih dua pertiga daripada penduduk Malaysia yang di luar tenaga buruh dan sebahagian besar mereka berumur antara 15 hingga 34 tahun.

“Walaupun majoriti wanita merupakan luar tenaga buruh kerana tanggungjawab keluarga, komposisi mereka yang masih bersekolah atau mengikuti latihan terus meningkat,” katanya.

Menurut beliau pula sebahagian besar lelaki yang merupakan luar tenaga buruh adalah dalam kumpulan umur belia kerana masih bersekolah atau mengikuti latihan.

“Sebilangan besar golongan muda berusia antara 25 hingga 34 tahun yang di luar tenaga buruh boleh dikaitkan dengan tempoh pendidikan yang lebih panjang,” katanya.

Susulan pelaksanaan pelbagai tahap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai Januari 2021, Mohd Uzir berkata lebih banyak aktiviti ekonomi dibuka semula secara beransur-ansur dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat sejak pertengahan Februari dan awal Mac.

Oleh itu, permintaan tenaga buruh pada S1 2021 menurun pada kadar yang lebih perlahan sekitar 1.5 peratus, merekodkan 8.44 juta jawatan berbanding 8.57 juta jawatan pada S1 2020.

Mohd Uzir berkata penurunan bilangan jawatan disumbang oleh pengurangan 141,000 jawatan yang diisi kepada 8.26 juta.

“Walaupun perniagaan berdepan dengan cabaran kerana pandemik (Covid-19), kekosongan jawatan dalam sektor ekonomi naik 12,000 kepada 178,000, menunjukkan permintaan pekerjaan yang lebih banyak berbanding suku yang sama tahun sebelumnya,” katanya sambil menambah 17,000 jawatan diwujudkan dengan lebih separuh daripadanya adalah dalam kategori separuh mahir.

“Berdasarkan tahun ke tahun, walaupun penurunan didapati lebih perlahan bagi kebanyakan indikator yang menunjukkan momentum pemulihan optimis, senario pasaran buruh pada suku ini belum kembali seperti tempoh sebelum Covid-19,” katanya dalam merumuskan prestasi pasaran buruh pada suku pertama 2021. – Bernama, 21 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen