Pengangkutan awam perlu diselenggara, tambah kekerapan, kata pengguna


Elill Easwaran

Pengerusi persatuan pengguna pengangkutan awam berkata kerajaan lebih mengutamakan pengguna kenderaan peribadi berbanding pengguna pengangkutan awam, sekali gus membuatkan jalan raya sesak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2022.

DASAR pengangkutan negara lebih kepada untuk membuatkan rakyat guna kenderaan berbanding pengangkutan awam, kata pengguna.

Mereka berkata subsidi bahan api dan pengecualian cukai hanya menggalakkan penggunaan dan pemilikan kenderaan persendirian, yang akan menyesakkan lagi jalan raya.

Mereka juga menegaskan supaya kerajaan berusaha lebih bagi memastikan kenderaan pengangkutan awam sentiasa diselenggara supaya tidak rosak, seperti dalam keadaan sekarang.

Selain itu para pengguna pengangkutan awam juga mahu Putrajaya meningkatkan kekerapan perkhidmatan.

Pengerusi Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia Ajit Johl berkata kerajaan perlu ada dasar mantap untuk kenderaan persendirian dan juga pengangkutan awam supaya lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.

“Tetapi kerajaan lebih cenderung membantu pemilik kenderaan persendirian seperti subsidi bahan api dan juga pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Disebabkan dasar itulah, pengguna cenderung beli lebih banyak kereta berbanding guna pengangkutan awam,” kata Ajit kepada The Malaysian Insight.

Ajit berkata salah satu penambahbaikan yang boleh dibuat kerajaan untuk adalah dengan menambah lebih banyak laluan khusus pengangkutan awam.

“Apabila anda buat macam itu, secara automatik anda akan nampak lebih ramai orang guna pengangkutan awam.

“Contohnya jika 30 orang ingin ke titik B dari titik A, itu 30 kereta di jalan raya tetapi jika kita ada dasar pengangkutan awam yang bagus, kesemua 30 orang ini akan gunakan bas. Ini akan kurangkan trafik juga,” katanya.

Beliau juga berkata sebab utama peningkatan kenderaan persendirian sejak beberapa tahun lalu adalah disebabkan oleh pengecualian SST.

“Masih ada rakyat yang bimbang dengan Covid-19, jadi apabila mereka nampak harga kereta lebih murah, mereka cenderung untuk beli.

“Selain itu, kerajaan juga bagi subsidi bahan api yang membolehkan orang ramai beli kenderaan sendiri,” kata Ajit.

Jumlah kenderaan di negara ini telah mengatasi populasi manusia, dengan peningkatan sekurang-kurangnya sejuta kenderaan setiap tahun sejak 2019.

Tahun lepas, dilaporkan jumlah kenderaan lebih tinggi berbanding populasi rakyat Malaysia, dengan 33.3 juta kenderaan berdaftar berbanding 32.6 juta penduduk, menurut pakar keselamatan jalan raya Profesor Dr Kulanthayan K.C. Mani dari Universiti Putra Malaysia.

Daripada 33.3 juta kenderaan berdaftar, 47.3 peratus adalah kereta; 46.6 peratus motosikal, manakala 4.7 peratus kenderaan barangan. Selebihnya bas, teksi, kereta sewa pandu sendiri dan lain-lain.

Kerap rosak

Muhammad Ammar, 27, berharap pengangkutan awam lebih efisen kerana dia menggunakan pengangkutan awam setiap hari.

“Ada hari saya terpaksa beratur sampai sejam untuk dapat tren selepas waktu kerja. Selalunya sebabnya tren ada masalah teknikal.

“Kalau berlaku sekali dua, saya faham. Tetapi semenjak dua ini kerap sangat rosak,” katanya.

Mandy Lee, 32, yang menaiki bas ke tempat kerja setiap hari, berkata beliau sangat kecewa apabila terkandas dalam lalu lintas walaupun naik pengangkutan awam.

“Kadang-kadang saya fikir mungkin saya perlu beli kereta.

“Jika saya memandu kereta, saya masih akan terperangkap dalam kesesakan tetapi sekurang-kurangnya saya duduk manakala dalam bas pada waktu puncak anda bernasib baik jika anda ada tempat duduk,” katanya.

Sementara itu, R. Kishan, 26, berkata sangat mudah untuk negara jadikan pengangkutan awam mesra pengguna, tetapi tidak dilaksanakan.

“Mungkin sudah tiba masanya kerajaan lebih fokus kepada pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian.

“Jika anda tidak ada laluan khusus untuk pengangkutan awam, maka mungkin kerajaan boleh tambah kekerapan tren.

“Jika anda perasan pada waktu puncak, beratus orang akan cuba naik tren sebab ia mungkin ambil masa terlampau lama untuk tren seterusnya. Sudah tiba masanya untuk tingkatkan kekerapan pengangkutan awam,” katanya. – 25 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen