China perkasa pembangunan kenderaan tenaga alternatif


Jumlah penghasilan dan jualan kenderaan tenaga alternatif melebihi 1.7 juta di China. – Gambar EPA, 5 September, 2021.

INDUSTRI kenderaan China berkembang stabil dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, kata Naib Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Xin Guobin.

Beliau berkata demikian pada forum antarabangsa pembangunan industri kenderaan China yang diadakan di bandar Tianjin pada Sabtu.

“Statistik peringkat awal menunjukkan, jumlah jualan kenderaan melebihi 16 juta pada Januari hingga Ogos lalu, meningkat 10% berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah eksport kenderaan lengkap mencatat 1 juta pada Januari hingga Julai lalu, meningkat 124% berbanding tempoh sama tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, jumlah penghasilan dan jualan kenderaan tenaga alternatif melebihi 1.7 juta, meningkat dua kali ganda berbanding Januari hingga Ogos tahun lalu.

Katanya, industri kenderaan China berprestasi baik dari segi penghasilan dan pengeksportan kenderaan meningkat stabil.

Di samping itu kenderaan tenaga alternatif dan kenderaan jaringan pintar berkembang pesat dan teknologi inovatif mencapai kemajuan baharu, contohnya teknologi mengecaj bateri yang menyuntik tenaga baharu bagi industri itu.

“Matlamat dikemukakan China untuk mencapai puncak pelepasan karbon dioksida dan status neutral karbon menggariskan hala tuju perkembangan industri kenderaan.

“Kerjasama rantaian industri berkenaan, usaha menggalakkan industri, produk, pengangkutan dan sumber tenaga dengan pelepasan karbon rendah diperlukan untuk mencapai matlamat ini,” katanya. – Bernama, 5 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen