Pengedar kereta terpakai rayu pengecualian cukai jualan kenderaan


Noel Achariam

Sejak Januari hingga Jun tahun ini, dianggarkan lebih 200,000 kereta terpakai dijual, kata Persatuan Persekutuan Syarikat-Syarikat Motor dan Kredit Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2022.

PENGEDAR kereta terpakai mahu kerajaan menghapuskan pengecualian cukai jualan kenderaan yang akan berakhir pada 30 Jun kerana negara terus pulih daripada pandemik.

Mereka sebaliknya mahu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilanjutkan selaras dengan pengumuman pendaftaran kenderaan baharu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan diberi lanjutan sehingga 31 Mac 2023.

Presiden Persatuan Persekutuan Syarikat-Syarikat Motor dan Kredit Malaysia Tony Khor berkata pengecualian cukai jualan kenderaan perlu dilanjutkan hingga tahun depan.

Beliau berkata ini kerana kos sara hidup telah meningkat seiring dengan harga barangan dan makanan.

“Rakyat bimbang tentang ekonomi dan harga ayam, ikan, minyak masak dan lain-lain yang akan atau telah meningkat. Semua orang menderita.

“Jadi, orang ramai memerlukan pengangkutan dan mereka mencari kereta terpakai daripada membeli yang baharu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Khor berkata walaupun kerajaan mengalami kerugian daripada cukai jualan, mereka mendapat dana daripada hasil lain seperti duti import dan eksais kenderaan.

Pada Isnin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pengecualian cukai jualan kenderaan akan tamat pada 30 Jun seperti yang dirancang.

Bagaimanapun pembeli yang menempah kenderaan mereka sebelum 30 Jun akan dikecualikan dan mempunyai masa sehingga 31 Mac 2023, untuk mendaftarkan kenderaan mereka dengan JPJ, katanya.

“Lanjutan pendaftaran kenderaan baharu adalah penyelesaian titik tengah untuk mengimbangi pendapatan kerajaan dan kepentingan pengguna,” kata Tengku Zafrul.

Sehingga kini, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah dijual dan rakyat telah mendapat manfaat daripada pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.

Khor berkata ia adalah penting bagi orang ramai untuk terus hidup kerana ia adalah keperluan bukan kemewahan.

“Setiap orang memerlukan kenderaan, sama ada untuk ke tempat kerja, berniaga atau lain-lain, pengangkutan adalah sangat penting.

“Jadi, kerajaan harus benarkan semua orang memiliki kenderaan.

“Kami merayu kepada menteri untuk mempertimbangkan semula syarat bahawa pelanggan perlu membeli kenderaan sebelum 30 Jun.”

Presiden Persatuan Persekutuan Syarikat-Syarikat Motor dan Kredit Malaysia Tony Khor berkata pengecualian cukai jualan kenderaan perlu dilanjutkan hingga tahun depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Jun, 2022.

Jualan kereta terpakai

Beliau berkata sejak Januari hingga Jun tahun ini, pihaknya menganggarkan lebih 200,000 kereta terpakai dijual.

“Kita dapat lihat terdapat peningkatan sebanyak 10% dalam jualan berbanding tahun lepas apabila industri itu tidak begitu baik.

“Sekarang, kami beransur pulih. Ia akan mengambil masa lebih setahun untuk kembali seperti sebelumnya (jualan).”

Khor berkata terdapat kemungkinan jualan kereta terpakai akan meningkat apabila negara berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Memandangkan harga terus meningkat (barangan dan makanan) kami menjangkakan orang ramai akan beralih kepada kereta terpakai.

“Tahun ini kami menjangkakan untuk menjual lebih 400,000 unit. Ini adalah ramalan konservatif. Kami juga perlu mempertimbangkan bekalan kereta terpakai kami.

“Mungkin terdapat kekurangan kerana penghantaran kereta baharu adalah lambat menyebabkan pembeli terus menggunakan kereta sedia ada mereka. Lebih daripada 60% pelanggan menjual semula kenderaan mereka.”

Beliau berkata di seluruh negara mereka turun naik antara 80,000 dan 120,000 unit dalam inventori mereka.

Khor berkata persatuan itu kini mempunyai 4,700 ahli, termasuk pengedar kereta baharu dan terpakai, serta syarikat kredit yang menyediakan perjanjian sewa beli. – 24 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen