5 sekeluarga terselamat kereta terbakar di Genting Highlands


Kereta jenis Hyundai Elantra yang terbakar di jalan Genting Highlands semalam. – Gambar YouTube, 10 Mei, 2022.

LIMA sekeluarga berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka terbakar di jalan Genting Highlands, semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.44 tengah hari, sebelum anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya sejurus tiba didapati kereta jenis Hyundai Elantra terbakar di KM 2.9 dan mengundur ke KM 3.0 dengan keadaan api sedang marak.

“Operasi memadam kebakaran telah dilaksanakan dan 80 peratus kenderaan itu telah terbakar. Mangsa yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan tiga kanak-kanak selamat, serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pasukan forensik bomba.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata siasatan awal mendapati, kereta berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Genting Highlands.

Beliau berkata bahagian enjin kereta dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun itu, secara tiba-tiba telah mengeluarkan api kemudian merebak ke bahagian lain, sebelum pemandu tersebut memberhentikan dan meninggalkan kenderaannya di jalan raya.

“Sejurus itu, kereta tersebut telah mengundur dengan sendiri dan terlanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire. Pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menerusi kenyataan media.

“Saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Kaedah 14, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59),” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan sebuah kereta terbakar mengundur dan melanggar kenderaan lain, dalam keadaan api sedang marak di jalan berbukit yang dirakam oleh orang awam semasa menaiki kereta kabel Genting Highlands. – Bernama, 10 Mei, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen