Wartawan Yaman maut kereta dibom, kata pegawai keselamatan


Wartawan Yaman yang cuba membuat liputan mengenai konflik di negara itu berhadapan ancaman dari semua pihak termasuk Al-Qaeda serta pemberontak dan penyokong setia kerajaan, menurut Wartawan Tanpa Sempadan. – Gambar EPA, 16 Jun, 2022.

SEORANG wartawan Yaman terbunuh akibat letupan kereta di bandar kedua negara itu Aden, ibu pejabat kerajaan yang diiktiraf antarabangsa, kata pegawai keselamatan kepada AFP pada Khamis.

“Penyerang yang tidak dikenali telah meletakkan bahan letupan di dalam kenderaan wartawan Saber al-Haidari, yang bekerja untuk beberapa media asing,” kata pegawai yang tidak mahu namanya disiarkan.

Pegawai itu berkata pengebom itu menyerang pada malam Rabu ketika “Haidari sedang menuju ke rumah, membunuhnya dan mencederakan orang lain yang berada di dalam kereta”.

Beliau berkata, serangan itu serupa dengan pengeboman kereta yang membunuh wartawan Yaman yang sedang hamil Rasha Abdullah al-Harazi pada November. Suaminya, Mahmud al-Atmi, juga seorang wartawan, cedera.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab setakat ini.

Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) berkata Haidari “dibunuh pada malam Rabu selepas bahan letupan diletakkan di dalam keretanya”.

Ia berkata beliau pernah bekerja sebagai wartawan untuk Agensi Berita Xinhua China.

Pemberontak Huthi yang disokong Iran menyerang ibu kota Sanaa pada 2014 menyebabkan presiden Abedrabbo Mansour Hadi dan penyokong setianya melarikan diri ke Aden dan kemudian berada dalam buangan di Arab Saudi.

Campur tangan tentera yang diketuai Saudi yang dilancarkan pada 2015 telah membolehkan kerajaan memulihkan Aden dan sebahagian besar kawasan selatan.

Namun pertempuran itu telah menyebabkan ratusan ribu maut dan berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal dalam apa yang disebut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Wartawan Yaman yang cuba membuat liputan mengenai konflik telah menghadapi ancaman dari semua pihak, termasuk Al-Qaeda serta pemberontak dan penyokong setia kerajaan, kata RSF.

“Militan menjadikan mereka subjek keganasan dan penderaan, dan mereka berisiko menjadi sasaran ancaman bunuh, pembunuhan atau pengeboman,” kata badan pemerhati itu. – AFP, 16 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen