Pesakit kanser terkesan stok ubat kurang, kata persatuan


Ravin Palanisamy

Pengarah Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia berkata pesakit kanser juga terkesan dengan krisis kekurangan bekalan ubat, yang antara lain, kerana ringgit yang melemah. – Gambar EPA, 22 Jun, 2022.

KEKURANGAN ubat terus menjadi masalah utama bagi kebanyakan pesakit yang turut terkesan dengan krisis tersebut, kata Pengarah Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr Murallitharan Munisamy.

Walaupun terdapat laporan kekurangan antibiotik dan seperti ubat demam, selesema serta batuk di kemudahan perubatan, beliau berkata ubat kanser juga semakin kurang, terutamanya di pusat penjagaan kesihatan kerajaan.

Selain kekurangan dana untuk mendapatkan ubat-ubatan tersebut, terdapat juga punca lain yang turut menyumbang kepada masalah ini, tambahnya.

Antaranya, kata Murallitharan, adalah kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

“Perolehan ubat untuk kerajaan sentiasa melalui tender.

“Syarikat farmaseutikal akan buat tender kepada kerajaan pada harga tertentu tetapi kerana harga yang ditender dan harga sekarang mungkin berbeza susulan turun naik ringgit kepada AS$. Jadi, ada syarikat yang mungkin mengalami kerugian.

“Oleh itu, syarikat farmaseutikal akan guna alasan seperti tiada stok, tidak boleh bawa masuk ubat dan lain-lain, tetapi sebenarnya mereka sedang tunggu harga ditetapkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selain itu, beliau juga berkata isu bekalan dan konflik Rusia-Ukraine antara punca kekurangan ubat.

“Kita tahu banyak bahan mentah ubat datang dari India dan China. Kedua-dua negara ini berhadapan kekurangan bekalan akibat Covid-19 kerana ada sekatan dan isu lain. Jadi, ia menjejaskan pengeluaran yang seterusnya menjejaskan jumlah ubat untuk dieksport.

“Selain itu, banyak gangguan rantaian bekalan global akibat perang (Rusia-Ukraine), walaupun ia tidak kelihatan seperti itu.

“Gangguan bekalan bukan sahaja di Malaysia tetapi ia isu global.

“Disebabkan ini, ubat yang kami bayar pun tidak sampai atau tidak sampai dalam jumlah sepatutnya. Ini bermakna tempahan tidak cukup,” katanya.

Pandemik jadi punca

Murallitharan berkata terdapat isu lain yang berganding dengan pandemik Covid-19, yang menurutnya memberi kesan langsung kepada situasi semasa.

Beliau berkata had peruntukan, hilang kerja, pertambahan pesakit ke fasiliti penjagaan kesihatan kerajaan juga merupakan punca yang menyumbang kepada kekurangan ubat.

Beliau mendakwa bajet untuk kanser telah dikurangkan untuk membiayai pengurusan berkaitan Covid.

“Kami rasa kerana Covid-19, banyak wang telah dan sedang dibelanjakan untuk penyakit berjangkit.

“Kita tahu hospital terima pukulan dari segi wang yang dikeluarkan. Jadi, apabila ada pemotongan bajet, ia akan sentiasa melanda penyakit tidak berjangkit, seperti kanser kerana rawatan kanser mahal.

“Kita tahu perkara ini berlaku tetapi jangan harap perkara ini akan pulih dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang,” katanya.

Murallitharan berkata kekurangan ubat kanser semakin teruk sejak beberapa tahun lepas disebabkan oleh kehilangan pendapatan pesakit akibat Covid-19.

Beliau berkata mereka yang sebelum ini mendapatkan khidmat nasihat dan ubat-ubatan di hospital swasta kini telah beralih kepada kerajaan.

“Masalahnya semakin teruk sekarang kerana terlalu ramai pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan kerana kehilangan pekerjaan.

Murallitharan berkata organisasinya kini menarik perhatian ramai apabila pesakit tidak mampu membeli ubat atau tidak dapat mendapatkannya dari hospital awam.

“Apabila tiada ubat di hospital awam, pesakit tiada pilihan selain membelinya dari pusat kesihatan swasta.

“Jadi, ketika inilah kami muncul, di mana kami mula bekalkan ubat-ubatan pada kadar yang jauh lebih murah.

“Dengan berbuat demikian, kami boleh jimatkan wang pesakit kerana kemudahan swasta sangat mahal,” katanya.

Murallitharan berkata sebelum Covid-19, NCSM tidak banyak menjalankan program bantuan pesakit, tidak seperti ketika ini.

“Program bantuan pesakit sebenarnya adalah perolehan ubat-ubatan, yang kemudiannya kita bekalkan kepada pesakit tanpa naikkan harga.

“Oleh itu, ia jadi jauh lebih murah, hampir 70% lebih murah daripada beli dengan sektor swasta,” katanya.

Ubat kanser tidak disubsidi oleh kerajaan, memaksa sesetengah pesakit membeli ubat tersebut pada kadar premium di farmasi atau hospital swasta. – 23 Jun, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen