KKM bekalkan Paxlovid kepada hospital swasta tertentu secara percuma, kata Khairy


Ubat antiviral Paxlovid bagi merawat pesakit Covid-19 akan disediakan di hospital swasta tertentu secara percuma, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. – Gambar EPA, 8 Jun, 2022.

UBAT antiviral Paxlovid bagi merawat pesakit Covid-19 akan disediakan di hospital swasta tertentu secara percuma, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Dalam kenyataan yang dibuat menerusi Twitter beliau berkata langkah ini adalah sebahagian daripada matlamat kerajaan untuk memastikan akses yang lebih baik terhadap rawatan antiviral baharu ketika negara beralih ke fasa endemik. 

“Pemberian ubat Paxlovid kepada pesakit di fasiliti kesihatan swasta adalah secara percuma. Walau bagaimanapun pesakit masih tertakluk kepada caj khidmat rundingan dan lain-lain caj berkaitan yang ditentukan oleh fasiliti kesihatan swasta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Twitter.

Khairy berkata Paxlovid akan disediakan di kemudahan penjagaan kesihatan swasta tidak lama lagi tetapi tidak menyatakan bila.

Kementerian mula menggunakan Paxlovid di hospital kerajaan pada 15 April, antiviral oral pertama yang digunakan di sini dalam rawatan pesakit Covid-19.

Khairy berkata sehingga 5 Jun seramai 1,364 pesakit dirawat dengan Paxlovid dan pulih sepenuhnya tanpa kesan sampingan yang teruk. 

Satu lagi ubat antiviral iaitu Evusheld juga akan dibekalkan di Malaysia tidak lama lagi untuk mereka lemah imunisasi dan mereka yang tidak dapat mengambil vaksin Covid-19.

Evusheld hanya akan diberikan di hospital kerajaan, tambah Khairy.

Dibangunkan oleh AstraZeneca, Evusheld akan digunakan untuk memberi perlindungan pra-pendedahan bagi mereka yang tidak dijangkiti Covid-19 dan berada dalam kategori berisiko tinggi.

“Kajian menunjukkan bahawa ubat antibodi Evusheld dapat melindungi penerima dari jangkitan Covid-19 untuk jangka masa enam bulan selepas pemberian suntikan,” katanya.

Evusheld terdiri daripada dua suntikan berasingan iaitu Tixagevimab dan Cilgavimab yang diberikan secara berturut-turut.

Mereka yang ingin menerima Evusheld mesti terlebih dahulu dinilai oleh doktor, tambah Khairy.

Untuk melayakkan diri mendapat ubat antibodi ini seseorang mesti berusia 12 tahun ke atas, berat melebihi 40kg, dalam kalangan immunocompromised sederhana hingga teruk dan tidak menerima vaksin Covid-19 atas sebab kesihatan atau tindak balas teruk terhadap vaksinasi. – 8 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen